Thursday 10 June 2021

ISLAM MEMBELA MELINDUNGI WANITA

Wanita Barat sentiasa memperjuangkan taraf sama antara lelaki dan wanita. Perjuangan itu bertujuan mengelak penindasan, serta diskriminasi jantina. Mereka bangkit setelah merasakan kedudukan wanita tidak mendapat layanan sepatutnya daripada lelaki.

Bagi wanita Islam, tindakan itu tidak perlu dilakukan. Sesungguhnya, ajaran Islam yang syumul telah mengangkat martabat wanita pada kedudukan terbaik. 

Dalam Islam, kaum wanita diberi penghormatan dan peluang yang istimewa untuk menikmati suasana kehidupan yang baik berdasarkan kepada fitrah kejadian seorang wanita.

Islam tidak membeza-bezakan taraf di antara lelaki dan wanita, kecuali berkaitan tanggungjawab dan kuasa dalam rumahtangga. 

Pengagihan tanggungjawab dan kuasa dalam rumahtangga juga sebenarnya bertujuan untuk mendatangkan kebaikan kepada wanita. 

Sebagai isteri dan ibu dalam sebuah keluarga, wanita mendapat hak dan layanan yang istimewa yang mana nafkah hidup, soal keselamatan dan maruah diuruskan oleh lelaki.  

Isteri adalah ratu dalam sesebuah rumahtangga. Tanggungjawab yang diserahkan kepada kaum isteri dalam rumahtangga ialah melayan kehendak suami dan membantu mengurus rumahtangga.

Namun, Islam tidak melarang jika wanita ingin turut serta dalam urusan kehidupan luar yang lebih luas asalkan ia tidak menyalahi batasan syariat. 

Bagi wanita yang bersuami, perlulah mendapat keizinan dan keredaan suami. Manakala anak gadis pula perlu mendapat kebenaran ibu bapa atau penjaganya.

Syarait Islam membenarkan wanita melakukan aktiviti atau tugasan berkaitan kegiatan ekonomi, sosial dan politik yang mendatangkan kebaikan untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat dan agama. Islam cintakan kebaikan dan memberi kebaikan kepada semua. 

Islam memahami potensi diri wanita yang mampu menyumbangkan tenaga dan fikiran untuk melakukan sesuatu tugas lebih daripada apa yang ditetapkan dalam rumahtangga. 

Sebenarnya, fungsi wanita sebagai nadi penggerak kepada kemajuan sesuatu bangsa sudah berlaku sejak manusia mengenal tamadun lagi. 

Kemampuan wanita tampil menyumbangkan tenaga untuk kemajuan diri sendiri, keluarga dan masyarakat tidak disekat dalam Islam kerana secara dasarnya apa-apa saja yang mendatangkan kebaikan harus dilakukan. 

Malah, dalam keadaan tertentu, wajib wanita bekerja dan menyumbangkan apa yang termampu. Tidak tepat dakwaan mengatakan wanita Islam tidak dibenarkan bekerja atau melakukan aktiviti di luar rumah. 

Tidak semua wanita bernasib baik disara oleh lelaki. Ramai wanita tidak bertemu jodoh, sedangkan bapa yang menyara hidupnya telah tiada. 

Begitu juga bagi ibu tunggal yang kematian suami atau diceraikan terpaksa berusaha sendiri memenuhi keperluan hidup sendiri dan anak-anak. 

Sekiranya wanita disekat daripada bekerja dan bersosial dalam masyarakat, sudah pasti golongan wanita yang mengalami nasib sebegitu akan berdepan dengan masalah basar. 

Apakah mereka perlu menjadi pengemis dan menjual maruah. Hal itu meletakkan kedudukan wanita lebih hina. 

No comments:

Post a Comment