Wednesday 16 June 2021

INDIVIDU ADA HASAD DENGKI HIDUP TIDAK TENTERAM

 

Orang yang berhasad dengki hidupnya tidak akan tenteram. Dia bukan sahaja dimurkai oleh Allah SWT, malah pemikirannya juga sentiasa bercelaru kerana asyik memikirkan ketidakpuasan hati terhadap orang lain. Sifat dengki akan mewujudkan permusuhan. Manusia seperti ini sentiasa merasakan dialah yang terbaik, jadi dia akan gelisah jika ada orang lain melebihinya.

Paling hina sekiranya dengki itu menyebabkan dorongan kepadanya melakukan sesuatu tindakan semata-mata untuk menjatuhkan orang lain, seterusnya boleh mengundang sifat mazmumah yang lain seperti fitnah-memfitnah, pergaduhan, pembohongan, putus silaturahim, penghinaan dan lain-lain. 

Malah tidak hairan jika sifat dengki juga boleh mengakibatkan pembunuhan. Semua kejahatan ini akan wujud ekoran dari perasaan hasad dengki selagi ianya tidak dijauhkan.

Firman Allah SWT, “Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia mendengki.” (Surah Al-Falaq, ayat 5)

Menurut Imam Ghazali, tahap kedengkian itu ada tiga jenis:
1. Menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang dan ia dapat menggantikannya.  ‎
2. Menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang, sekalipun ia tidak dapat menggantikannya, baik kerana merasa mustahil bahawa dirinya akan dapat menggantikannya atau memang bukan mudah memperolehinya atau sebab-sebab yang lain. Pokoknya, asalkan orang itu jatuh, ia gembira. Ini adalah lebih jahat dari kedengkian yang pertama.
‎3. Dia tidak ingin kalau kenikmatan orang lain itu hilang, tetapi ia benci kalau orang itu akan melebihi kenikmatan yang dimilikinya sendiri. Inipun terlarang, sebab jelas dia tidak redha dengan apa-apa yang telah dikurniakan oleh Allah.

Hampir semua orang dihinggapi penyakit hasad dengki. Cuma bezanya banyak atau sedikit, bertindak atau tidak. Hatta ulama pun terkena penyakit ini bahkan lebih berat lagi, hingga di dalam hadis ada dinyatakan, salah satu sebab dari golongan yang masuk neraka itu ialah ulama kerana hasadnya.

Allah SWT menjelaskan tentang orang-orang yang hasad dengki dalam surah Muhammad ayat 29-30: 

“Patutkah orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya menyangka bahawa Allah tidak sekali-kali akan mendedahkan perasaan dendam dan hasad dengki mereka (terhadap Nabi Muhammad s.a.w dan umatnya)? (Surah Muhammad, ayat 29) 

 “Dan sekiranya Kami kehendaki, tentulah Kami akan memperkenalkan mereka kepadamu (wahai Muhammad), lalu engkau tetap mengenalinya dengan tanda-tanda (yang menjadi sifat) mereka dan demi sesungguhnya, engkau akan mengenali mereka dari gaya dan tutur katanya dan (ingatlah kamu masing-masing), Allah mengetahui segala yang kamu lakukan. (Surah Muhammad, ayat 30)

Sesungguhnya amalan hasad dengki akan merosakkan amalan kebaikan yang telah dilakukan. 

Nabi bersabda bermaksud: "Jauhi olehmu sekalian akan sifat hasad, kerana sesungguhnya hasad itu menghapuskan beberapa kebaikan ibarat api memakan kayu api dan rumput." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

No comments:

Post a Comment