Wednesday 29 September 2021

KAMPUNG TANJUNG KUALA SABAK

 
Kampung Tanjung Kuala Sabak merupakan sebuah perkampungan tradisi yang terletak di muara Sungai Pengkalan Datu, dalam Jajahan Kota Bharu. Majoriti penduduk di Kampung Tanjung Kuala Sabak bekerja sebagai nelayan.

Terletak lebih kurang 15 km dari pusat bandar Kota Bharu dan hanya beberapa kilometer dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.  

Di sini, segala aktiviti menangkap ikan adalah berunsurkan tradisional dengan menggunakan perahu kolek berenjin galah, yang dihias cantik dengan pelbagai corak dan ukiran yang menarik dan berwarna-warni. 

Tradisi mengukir dan mengecat badan bot dengan hiasan ukiran dan dicat warna warni telah lama diamalkan nelayan di sini yang menjadi identiti mereka.

Sebenarnya, majoriti penduduk di Kampung Tanjung Kuala Sabak adalah penduduk dari Kampung Pantai Dasar, Pantai Sabak dan Pantai Kemaruk yang kediaman mereka rosak dihakis ombak.

Penduduk dipindahkan ke Kampung Tanjung Kuala Sabak sekitar tahun 1990 kerana adanya kemudahan Sungai Pengkalan Datu yang membolehkan mereka meletakkan bot masing-masing tidak jauh dari tempat tinggal.

Jadi, mereka dapat meneruskan kerja menangkap ikan biarpun telah berpindah dari kampung asal.  

Para nelayan di sini akan mula turun ke laut pada awal pagi dan hanya akan pulang menjelang petang dengan tangkapan masing-masing.

Kawasan Pantai Nusuk adalah sebahagian daripada Kampung Tanjung Kuala Sabak.

No comments:

Post a Comment