Apa amalan yang lebih utama bila kita
dijemput menjadi tetamu Allah di Makkah? Jawapannya ialah perbanyakkan tawaf. Begitulah
yang Rasulullah SAW ajarkan dan itulah sunah yang baginda tinggalkan.
Syaikhul Islam Ibn Taimiyah menyatakan: “Tawaf
mengelilingi Kaabah lebih utama daripada umrah bagi orang yang berada di Makkah,
adalah perkara yang tidak diragui oleh orang yang memahami sunah Nabi dan amalan
khalifah yang menggantikannya dan para sahabatnya, serta generasi salaf dan
akhlak."
Alasannya, adalah kerana tawaf di Baitullah
adalah ibadah dan qurbah yang paling afdal (cara mendekatkan diri kepada Allah)
yang telah ditetapkan Allah dalam kitab-Nya, berdasarkan sabda Nabi-Nya.
Tawaf merupakan salah satu ibadah yang
paling utama bagi penduduk Makkah. Iaitu orang-orang yang berada di Makkah,
baik penduduk tempatan mahupun pendatang.
Tawaf juga merupakan ibadah khusus yang
tidak boleh dilakukan oleh orang di kota lain.
Orang yang berada di Makkah sejak zaman Rasulullah dan zaman khulafa sentiasa melaksanakan tawaf pada setiap masa.
Dan lagi, Rasulullah SAW memerintahkan
kepada mereka yang bertugas di Baitullah agar tidak menghalang sesiapa yang
ingin melakukan tawaf pada bila-bila masa. Baginda bersabda: “Wahai Bani Abd
Manaf, janganlah kamu melarang seseorang daripada melakukan tawaf di Kaabah dan
solat pada bila-bila masa, baik malam mahupun siang”
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan
bersihkanlah rumah-Ku untuk orang-orang yang tawaf, yang iktikaf, yang rukuk
dan yang sujud.” (Surah al-Baqarah, ayat125)
Dalam ayat lain, firman Allah SWT
bermaksud: “Dan sucikanlah rumah-Ku untuk orang-orang yang tawaf, orang-orang
yang beribadah, orang-orang yang rukuk dan sujud.” (Surah al-Hajj, ayat 26)
Dalam dua ayat di atas, Allah menyebut tiga
ibadah di Baitullah iaitu tawaf, iktikaf dan rukuk serta sujud.
Dengan mengutamakan yang paling istimewa
dahulu iaitu tawaf. Kerana sebenarnya tawaf tidak disyariatkan kecuali di
Baitil 'Atiq (rumah tua, Kaabah) berdasarkan kesepakatan para ulama. Begitu
juga ulama bersepakat bahawa tawaf tidak boleh dilakukan di tempat selain
Kaabah.
Adapun iktikaf boleh dilakukan di
masjid-masjid lain. Begitu juga rukuk dan sujud boleh dilakukan di mana sahaja.
Nabi SAW bersabda bermaksud: “Menjadikan
bumi sebagai masjid dan tempat bersuci bagi diriku” - (Hadis riwayat Bukhari dan
Muslim)
Maksudnya, Allah mengutamakan perkara yang
paling istimewa dengan tempat itu. Sehingga mengutamakan sebutan tawaf. Kerana
ibadah tawaf hanya berlaku khusus untuk Masjidil Haram. Barulah disebut
iktikaf.
Kerana ia boleh dilakukan di Masjidil Haram
dan masjid-masjid lain yang digunakan oleh umat Islam untuk menunaikan solat
lima waktu. Seterusnya sebut tentang ibadah solat. Kerana tempat pelaksanaannya
lebih umum.
Selain itu, tawaf adalah rangkaian ibadah
yang lebih kerap diulang. Tawaf Qudum disyariatkan kepada orang yang baru tiba
di Makkah. Tawaf Wadak disyariatkan bagi orang yang akan keluar dari kota Makkah
setelah melaksanakan ibadah haji. Selain adanya tawaf ifadhah yang merupakan
salah satu rukun haji.
Secara khusus, keutamaan tawaf di Baitullah
Rasulullah bersabda:“Barangsiapa yang mengelilingi rumah ini (Kaabah) tujuh
kali, maka ia seperti memerdekakan seorang hamba”
Kesimpulannya kita dituntut untuk
memperbanyakkan tawaf kerana ia adalah ibadah sunah yang diperintahkan.
Terutama bagi orang yang datang ke Makkah. Banyak ulama berpendapat bahawa
tawaf di Kaabah lebih utama daripada solat di Masjidil Haram, walaupun solat di
sana itu amat penting.
Disunting daripada tulisan asal. Kredit kepada
penulis asal.
Orang yang berada di Makkah sejak zaman Rasulullah dan zaman khulafa sentiasa melaksanakan tawaf pada setiap masa.
No comments:
Post a Comment