Kerapuhan jati diri dalam kalangan bangsa
Melayu sehingga membenarkan budaya negatif barat menghakis nilai murni
masyarakat itu perlu dipantau. Melayu akan hanya tinggal pada kad pengenalan
jika penghakisan amalan tradisi Melayu berterusan seperti trend terkini.
Budaya barat kini menjadi ancaman terhadap
penghakisan tradisi dan budaya melalui kecelaruan pemikiran yang hadir dalam
bangsa Melayu tanpa disedari. Dunia terbuka melalui alam maya memberi akses
kepada semua orang untuk melihat jendela dunia tanpa batasan.
Golongan muda mudah terpengaruh dengan apa
yang mereka lihat tanpa memikirkan kesan baik dan buruk. Apa yang penting pada
mereka ialah keseronokan dan kepuasan tanpa batas. Sehingga mereka menganggap
apa yang diamalkan dalam masyarakat Melayu sebagai kolot dan mengokong.
Maka itu, usaha memperkasa jati diri
semakin terhakis apabila anak jati Melayu sendiri menolak Melayunya, tidak mahu
berbahasa Melayu, memperlekeh nilai dan hati budi Melayu, dan akhir ini, atas
nama kebebasan bersuara, ada sanggup meninggalkan agama Islam yang sinonim
dengan Melayu.
Islam adalah anutan Melayu. Jika Melayu
runtuh, maka Islam turut akan terlerai. Kehidupan Melayu adalah gambaran apa
yang dikehendaki oleh Islam. Melayu mengamalkan kehidupan yang berteraskan
kepada konsep Islam.
Lihat sahaja bagaimana orang Melayu
mencipta baju kurung yang cantik, tetapi pada masa sama menutup aurat. Lihat
bagaimana tutur bicara yang lembut dan mengormati orang lain yang diajar dalam
Islam.
Orang Melayu mengawal tingkah laku
pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Itu adalah amalan yang
disyariatkan dalam Islam. Dengan kata lain, apa saja yang diamalkan dalam
masyarakat Melayu ada cerminan kehendak Islam.
Maka itu, jika teras jati diri Melayu
terlerai, ditakuti juga akan memberi kesan kepada kekuatan Islam.
Kita bimbing dengan perilaku bebas golongan
muda persis apa diamalkan negara barat dianggap mereka sejajar dengan peredaran
zaman sehingga sanggup meniru gaya hidup barat serta menerap nilai pemikiran
yang bertentangan dengan kemurnian budaya bangsa.
Bangsa Melayu perlu menghayati sejarah
bangsa. Penghayatan sejarah akan memperkasa jati diri Melayu.
Gambar: Sekadar hiasan
No comments:
Post a Comment