Saturday 14 January 2023

SEJARAH PANGAJIAN TINGGI ISLAM DI MALAYSIA

 
Selaras dengan perkembangan Islam di alam Melayu dan juga lahirnya cerdik pandai yang ingin mengembangkan pendididkan Islam secara lebih formal dan mendapat pengiktirafan, maka cadangan menubuhkan institusi pendidikan tinggi Islam mula dicadangkan.
 
Antara pencetus idea menubuhkan sebuah koleh pengajian Islam di Tanah Melayu ialah Zaaba melalui tulisannya dalam majalah Al-Ikhwan 17 Januari 1927. Matlamat penubuhnya ialah agar melahirkan cerdik pandai dan ilmuan Islam untuk menjadi teras kepada perjuangan agama, bangsa dan tanah air.
 
Hasil cadangan itu, mesyuarat antara ulama Malaya di Muar, Johor telah bersetuju agar satu institusi agama ditubuhkan. Penaja Jawatankuasa Kolej Islam Malaya telah ditubuhkan pada 20 Mac 1949.
 
Laporan Jawatankuasa Kolej Islam Malaya telah dimuktamadkan pada 19 September 1949. Dengan pengesahan daripada Sultan Pahang dan Sultan Selangor tidak dapat menghalang penjajah dari melarang pembinaan sebuah kolej kolej di Malaya.  
 
Kutipan dana di bawah nama Dana Waqaf KIM telah dilancarkan di seluruh Tanah Melayu. Ia didirikan di atas sebidang tanah seluas kira-kira 14.3 ekar yang terletak di Jalan Kota Raja, iaitu kira-kira satu setengah kilometer dari bandar Klang, Selangor.
 
Sultan Hisamuddin Alam Shah telah mewakafkan Istana Jamaiah untuk menjadi tapak rasmi Kolej Islam Malaya.
 
Kolej Islam Malaya telah dirasmikan oleh baginda Sultan Selangor pada ketika itu menerusi sebuah adat istiadat gilang-gemilang yang diadakan selepas solat Jumaat pada petang 8 April 1955. Baginda amat berharap agar kolej ini dapat melahirkan para ulama yang bertakwa kepada Allah dan seterusnya menerangi masyarakat Malaya ini dengan roh-roh Islam serta dapat menghapuskan segala bentuk kekufuran dan jahiliah yang ada.
     
Kumpulan pertama terdiri daripada 58 pelajar dengan pelajar tertinggi berasal dari Kelantan. Terdapat juga dua profesor dari Universiti Al-Azhar.
 
 
Satu lagi lambang kecemerlangan pendidikan tinggi Islam di Tanah Melayu dibawa oleh Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Kewujudannya memenuhi keperluan medan untuk melahirkan cerdikawan Islam. 
 
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya sepertimana yang ada pada hari ini merupakan gabungan antara Jabatan Pengajian Islam dan Akademi Islam. Sebelum ini kedua-dua institusi tersebut merupakan institusi yang tersendiri dalam Universiti Malaya.
 
Jabatan Pengajian Islam ditubuhkan pada tahun 1959 hasil dari hubungan yang formal antara Kolej Islam Malaya pada waktu itu dan Universiti Malaya. Sejak dari waktu itu Majlis Kolej Islam berfungsi sebagai penguasa eksekutif kepada jabatan berkenaan, manakala Senat Universiti Malaya pula mengawasi segala yang berhubung dengan hal-hal akademik.
 
Akademi Islam pula ditubuhkan pada tahun 1981 hasil pengambilalihan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) yang telah ditubuhkan pada tahun 1965. Ia mengandungi dua buah fakulti, iaitu Fakulti Syariah dan Fakulti Usuluddin, satu program ijazah, iaitu program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam, dan satu program matrikulasi, iaitu Pra Akademi Islam.
 
Hasil kejayaan lulusan dari pendidikan berteraskan Islam yang ternyata mempunyai tahap keilmuan bukan saja dalam bidang yang berkaitan Islam, bahkan hal-hal pentadbiran, ekonomi, kemasyarakatan, pemintaan penubuhan institusi berteraskan Islam semakin mendapat permintaan. Ibu bapa yakin bahawa anak yang terdidik dalam dua aliran agama dan sekular mampu meraih kejayaan dalam hidup dan menjadi insan yang lebih mulia.
 
Justeru itu, kerajaan mula memperkenalkan program pendidikan Islam di universiti tempatan sama ada dikendalikan oleh fakulti pengajian Islam mahupun oleh fakulti lain. 
 
Kita dapati banyak pengajian Islam atau yang berkaitan dengannya ditawarkan di hampir semua universiti di negara kita. Perkembangan baik itu selaras dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara Islam prograsif.
 
Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Islam Malaysia serta kolej universiti swasta seperti Kolej Universiti Insaniah, Kolej Islam Melaka, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra dan banyak lagi yang terdapat di seluruh negara mencerminkan era penerimaan lebih baik kepada pendidikan tinggi Islam.  
 
Gambar - Istana Jamaiah

No comments:

Post a Comment