Saturday 27 May 2023

PBSMM NEGERI KELANTAN

 
Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Negeri Kelantan adalah cawangan kepada PBSMM. Ibu pejabat PBSMM Negeri Kelantan terletak di Jalan Mahmood, Kota Bharu. Bangunan ibu pejabat PBSMM Negeri Kelantan juga dikenali sebagai Rumah Amal Tengku Faris Petra, mengambil nama Sultan Muhammad Kelima.
 
PBSMM Negeri Kelantan terlibat dalam aktiviti memberi bantuan kemasyarakatan dan kecemasan, terutama ketika bencana.
 
Pasukan yang berorentsikan khidmat sukarela itu membuka peluang kepada individu untuk menjadi sukarelawan. Selain itu, individu atau syarikat boleh juga menyumbang kewangan ataupun peralatan untuk membolehkan pasukan beroperasi dengan lebih berkesan.
 
Keahlian PBSMM Negeri Kelantan adalah terbuka kepada semua peringkat umur termasuk kanak-kanak sekolah, tanpa diskriminasi kaum, jantina, darjat, agama atau fahaman politik. Sebagai badan penyokong kerajaan, PBSMM Negeri Kelantan dengan dasarnya yang bebas dan berkecuali, telah mendapat sokongan serta diterima baik oleh masyarakat umum dalam semua aspek aktivitinya.
 
Sejarah PBSMM ditubuhkan pada tahun 1948 sebagai cawangan Persatuan Palang Merah Britain di Sabah dan Sarawak. Pada tahun 1950-an, lebih banyak cawangan persatuan ditubuhkan di Malaysia bermula di Pulau Pinang pada tahun 1950 dan kemudian di negeri-negeri lain.
 
Selepas kemerdekaan pada tahun 1957, cawangan di Semenanjung Malaysia dikenali sebagai Persatuan Palang Merah Persekutuan Tanah Melayu. Persatuan tersebut mendapat pengiktirafan oleh Persatuan Palang Merah Antarabangsa pada 4 Julai 1963 dan menjadi ahli badan antarabangsa itu pada 24 Ogos 1963.
 
Berikutan penggabungan Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak serta penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, suatu penggubalan akta baharu yang dikenali sebagai Akta Persatuan Palang Merah Malaysia (Penswastaan) Akta 1965 telah bertindak menggabungkan Persatuan Palang Merah Malaya dan cawangannya Persatuan Palang Merah di Sabah dan Sarawak di bawah nama baharu iaitu Persatuan Palang Merah Malaysia. Ia dibentangkan di Parlimen dan kemudiannya diwartakan pada 1 Julai 1965.
 
Pada 5 September 1975, Persatuan Palang Merah Malaysia telah ditukar nama kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia selaras dengan kebenaran penukaran nama Akta Persatuan Palang Merah Malaysia kepada Akta Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia 1975 oleh Parlimen Malaysia.

No comments:

Post a Comment