Sunday, 21 December 2025

PERKEMBANGAN AWAL PAS

 
PAS didaftarkan sebagai parti politik pada 31 Mei 1955 dengan Registration No. 733 (Penang), dengan menggunakan alamat pendaftarannya di Madrasah Daeratul Ma’arif al-Wathaniyah, milik Syeikh Abdullah Fahim.
 
Asas penubuhan Pas bermula pada 24 November 1951, apabila Muktamar Ulama Kali Ke-3 yang diadakan di Seberang Prai (Bangunan UMNO Bagan) dan persidangan ini telah berjaya menubuhkan Persatuan Ulama Se-Malaya dan seterusnya ditukarkan kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) atas persetujuan ramai.
 
Di bawah kepimpinan Ahmad Fuad, Pas telah mula berkembang. Terdapat beberapa cawangan Pas berjaya ditubuhkan, cawangan pertama iaitu Butterworth pada 9 Mac 1952, Kuala Kangsar (10 April 1952), Perlis (2 Mei 1952), Kerian (6 Julai 1952) dan Kuala Lumpur – Selangor (13 Julai 1952).
 
Sehingga Disember 1952, Pas telah berjaya menubuhkan 16 buah cawangan di seluruh Malaya dan Singapura. 
 
Cawangan pertama Pas di Pantai Timur telah ditubuhkan Amaluddin Darus dan Ahmad Yatim pada 23 Julai 1953 iaitu cawangan Pasir Mas. 
 
Pada 4 Januari 1953, Pas telah mengadakan satu persidangan di Kepala Batas, Seberang Perai bagi membincang dan menetapkan arah tuju perjuangan politiknya. 
 
Pada 26 Ogos 1953, Muktamar Agung Pas Kali Ke-2 telah diadakan di Madrasatul Ulum, Bagan Datuk, Perak. Dalam muktamar tersebut, Ahmad Fuad sekali lagi telah diberi mandat oleh lebih 600 ahli untuk terus memimpin Pas. 
 
PAS telah dijemput untuk menghadiri dua persidangan yang dianggap penting, iaitu National Conference yang ditaja oleh Datuk Onn Jaafar bersama tujuh orang Menteri Besar dan National Convention yang ditaja oleh Tuanku Abdul Rahman Putra al-Haj (UMNO – MCA).
 
Kedua-dua persidangan itu bertujuan untuk menyelaraskan usaha mencapai kemerdekaan serta mencari satu formula dalam menyelesaikan beberapa perkara berbangkit seperti status kerakyatan, hak untuk mengundi dan sebagainya.
 
Ekoran daripada itu, satu Mesyuarat Agung Khas Pas telah diadakan di Tanah Liat, Bukit Mertajam pada 23 September 1953 bagi menentukan sikap PAS dalam menghadapi kehendak-kehendak Ahli Jawatankuasa Agung pada masa itu yang berbeza-beza sama ada menyokong National Convention atau National Conference.
 
Hasil daripada mesyuarat tersebut, PAS telah menerima saranan oleh Pas Pasir Mas menerusi wakilnya Amaluddin Darus, iaitu mengambil sikap menyokong National Convention, tetapi tidak terikat kepadanya sekiranya merugikan bangsa Melayu amnya dan umat Islam khasnya.
 
Pas telah menolak gagasan Datuk Onn itu kerana mengiktiraf kerakyatan dan persamaan hak bagi seluruh kaum yang ada di negara ini pada waktu itu.
 
Dengan itu, Pas bertegas tidak akan menyertai persidangan National Conference, tetapi akan menghadiri dan menyatakan pendapat di dalam persidangan National Convention.
 
Mesyuarat Agung Khas pada 23 September 1953 itu juga telah bersetuju untuk membebaskan Pas daripada dipengaruhi oleh mana-mana unsur dan pihak. Ia mengekalkan Pas sebagai sebuah organisasi yang bebas dan berdikari.
 
Dengan itu, undang-undang tubuh Pas telah dicadangkan supaya dipinda bagi menentukan tidak ada orang yang menjadi anggota parti politik lain dibolehkan untuk dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Agung Pas atau pegawai-pegawai yang mengendalikan urusan Pas.
 
Ahmad Fuad adalah kawan rapak kepada Datuk Onn. Krisis UMNO-IMP (Independence of Malaya Party) sedikit sebanyak telah menjejaskan kepimpinan beliau di dalam Pas.
 
Percubaan beliau untuk membawa Pas bekerjasama dengan IMP telah ditolak oleh ahlinya, menyebabkan kepimpinan beliau telah mula dipersoalkan.
 
Ekoran kegagalan beliau membawa Pas untuk bersama-sama dengan IMP pimpinan Datuk Onn, Ahmad Fuad telah meninggalkan perjuangan Pas secara rasmi pada 26 September 1953. Seterusnya beliau menyertai IMP dan Parti Negara apabila IMP dibubarkan.

Baca juga;

No comments:

Post a Comment