Permulaan
perasaan dengki syaitan terhadap manusia bermula apabila mengetahui Allah mahu
menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi.
Syaitan berdengki kepada manusia kerana merasakan
dirinya lebih layak untuk menjadi khalifah di muka bumi. Syaitan berasa megah dan lebih mulia daripada
manusia kerana dijadikan daripada api, sedangkan Adam (manusia) dijadikan
daripada tanah hitam.
Keengganan
syaitan sujud kepada Adam telah menyebabkan mereka menjadi golongan hamba tidak
beriman dan dikeluarkan dari syurga.
Maka, tinggallah Adam dalam syurga dan kemudiannya diciptakan Hawa oleh
Allah sebagai pasangannya.
Melihat
Adam dan Hawa yang menjalani kehidupan dengan penuh kenikmatan di dalam syurga,
maka sifat dengki syaitan semakin bertambah.
Syaitan berusaha menggunakan tipu daya untuk merosakkan kenikmatan yang dirasai
oleh Adam dan Hawa itu.
Tipu
daya syaitan telah berjaya mempengaruhi Adam dan Hawa supaya memakan buah yang
dilarang dimakan. Disebabkan melanggar
larangan itu, maka Adam dan Hawa telah dikeluarkan dari syurga dan dihantar ke
bumi untuk menjalani kehidupan dengan penuh cabaran.
Biarpun,
syaitan telah berjaya merosakkan kebahagiaan hidup Adam dan Hawa, sifat dengki
terhadap manusia tidak pernah berkesudahan.
Malah, syaitan telah berjanji akan terus merosakkan hidup manusia
sehingga ke hari kiamat dengan kesesatan yang besar.
Allah
memberi peringatan kepada manusia tentang niat syaitan dalam firman-Nya
bermaksud: “Dan syaitan bermaksud menyesatkan manusia dengan sesat yang
jauh-jauh.” - (Surah an-Nisa, ayat 60).
Oleh
sebab itu perasaan dengki, syaitan terus mendampingi dan mempengaruhi manusia
melakukan kejahatan. Sekiranya manusia
melakukan kejahatan, maka manusia tergolong hamba bakal mendiami neraka, sama
seperti syaitan.
Sesungguhnya orang yang pertama kali berbuat
dengki di langit ialah iblis terkutuk, maka berlanjutanlah sifat dengki itu
seperti yang ada. Dan orang yang pertama kali melakukan dengki di dunia ialah
Qabil pada saat dia berhasad dengki terhadap saudara kandungnya yakni Habil,
maka berlanjutanlah sifat dengki seperti yang ada. Maka cukuplah perbuatan
keduanya itu sebagai nasihat dan pengajaran bagi mereka yang berfikir.
Sabda Rasulullah SAW: "Jauhilah hasad
(dengki), kerana hasad dapat memakan kebaikan seperti api memakan kayu
bakar." (Hadis riwayat Abu Daud)
Sabda Nabi bermaksud: “Tidak berkumpul di dalam
hati seorang manusia antara iman dan hasad dengki.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban
dan Baihaqi).
Imam Nawawi menulis di dalam Riyadhussolehin
tentang apa itu hasad, ”Seseorang yang tidak gembira kalau saudaranya mendapatkan
sesuatu, sedangkan ia sendiri akan gembira kalau memperolehnya, maka orang yang
sedemikian ini disebut orang dengki.”
No comments:
Post a Comment