Orang yang hasad dengki hidup tidak akan
tenteram. Dia bukan sahaja dimurkai oleh Allah SWT, malah fikiran juga
sentiasa celaru kerana asyik memikirkan ketidakpuasan hati terhadap orang
lain. Sifat dengki akan mewujudkan permusuhan. Manusia seperti ini sentiasa
merasakan dialah yang terbaik, jadi dia akan gelisah jika ada orang lain
melebihinya.
Paling hina sekiranya dengki itu menyebabkan
dorongan kepadanya melakukan sesuatu tindakan semata-mata untuk menjatuhkan
orang lain, seterusnya boleh mengundang sifat mazmumah yang lain seperti
fitnah-memfitnah, pergaduhan, pembohongan, putus silaturahim, penghinaan dan
lain-lain. Malah tidak hairan jika sifat dengki juga boleh mengakibatkan
pembunuhan. Semua kejahatan ini akan wujud ekoran dari perasaan hasad dengki
selagi ianya tidak dijauhkan.
Firman Allah SWT, “Dan dari kejahatan orang yang
dengki apabila ia mendengki.” (Surah Al-Falaq, ayat 5)
Menurut Imam Ghazali, tahap kedengkian itu ada
tiga jenis:
1. Menginginkan agar kenikmatan orang lain itu
hilang dan ia dapat menggantikannya.
2. Menginginkan agar kenikmatan orang lain itu
hilang, sekalipun ia tidak dapat menggantikannya, baik kerana merasa mustahil
bahawa dirinya akan dapat menggantikannya atau memang bukan mudah
memperolehinya atau sebab-sebab yang lain. Pokoknya, asalkan orang itu jatuh,
ia gembira. Ini adalah lebih jahat dari kedengkian yang pertama.
3. Dia tidak ingin kalau kenikmatan orang lain
itu hilang, tetapi ia benci kalau orang itu akan melebihi kenikmatan yang
dimilikinya sendiri. Inipun terlarang, sebab jelas dia tidak redha dengan
apa-apa yang telah dikurniakan oleh Allah.
Hampir semua orang dihinggapi penyakit hasad
dengki. Cuma bezanya banyak atau sedikit, bertindak atau tidak. Hatta
ulama-ulama pun terkena penyakit ini bahkan lebih berat lagi, hingga di dalam
hadis ada dinyatakan, salah satu sebab dari golongan yang masuk neraka itu
ialah ulama kerana hasadnya.
Allah SWT menjelaskan tentang orang-orang yang
hasad dengki dalam surah Muhammad ayat 29-30: “Patutkah orang-orang yang
ada penyakit dalam hatinya menyangka bahawa Allah tidak sekali-kali akan
mendedahkan perasaan dendam dan hasad dengki mereka (terhadap Nabi
Muhammad s.a.w dan umatnya)? (Muhammad: 29)
“Dan sekiranya Kami kehendaki, tentulah Kami
akan memperkenalkan mereka kepadamu (wahai Muhammad), lalu engkau tetap
mengenalinya dengan tanda-tanda (yang menjadi sifat) mereka dan demi
sesungguhnya, engkau akan mengenali mereka dari gaya dan tutur katanya dan
(ingatlah kamu masing-masing), Allah mengetahui segala yang kamu lakukan.
(Muhammad: 30)
Merosakkan amalan ketaatan. Nabi bersabda: "Jauhi olehmu sekalian
akan sifat hasad, kerana sesungguhnya hasad itu menghapuskan beberapa kebaikan
ibarat api memakan kayu api dan rumput." (Bukhari dan Muslim)
No comments:
Post a Comment