Penternakan babi di negara ini dilaksanakan
sejak 1970-an atau lebih awal, kebanyakannya di luar bandar. Ketika itu, ladang babi adalah perusahaan
keluarga skala kecil-kecilan. Penternakan ini biasanya bergiat secara haram dan
tiada peruntukan untuk membina sistem pengurusan sisa yang teratur, terutama
sistem olahan efluen kumbahan najis.
Sungai tersumbat dengan sisa ternakan babi
kerana penternak membuang semuanya ke dalam sungai. Penternak berasa dengan
kaedah tradisional ini, mereka boleh mengurangkan kos dan seterusnya memperoleh
keuntungan tinggi.
Sebenarnya ini mendedahkan pekerja ladang
babi kepada penyakit. Senario yang kita nampak ialah merebaknya penyakit
disebabkan pengurusan yang amat lemah dan keadaan ladang babi itu sendiri.
Kaedah tradisional dilihat sebagai punca
pembiakan nyamuk Culex dan ini memungkinkan virus yang membawa penyakit
disebarkan kepada manusia seperti ketika era JE (Japanese Encephalitis) atau
Virus Nipah yang meragut nyawa penduduk Bukit Pelanduk, Port Dickson.
Memang kebanyakan ladang babi di Malaysia tidak dilengkapi
prasarana pengurusan sisa yang sesuai, terutama membabitkan sisa buangan atau
efluen kumbahan najis.
Ini menyebabkan pencemaran yang teruk. Mungkin penternak tiada
kemampuan menyediakan prasarana ini. Jika
penternakan babi masih pada takuk lama, risiko seperti Bukit Pelandok harus
kita hadapi.
Selain pencemaran sungai dan pembiakan nyamuk
Culex akibat pembuangan sisa ternakan ke dalam sungai, kesihatan pekerja tidak
terjaga tanpa suntikan pelalian. Lebih menyedihkan penternak dan pekerja tidak
memakai peralatan keselamatan seperti sarung tangan dan apron yang memungkinkan
mereka terdedah kepada gigitan nyamuk ini.
Apakah semestinya
penternakan babi mencemarkan alam sekitar. Bagaimana dengan amalan di negara
lain. Di Amerika Syarikat, penternakan haiwan ini dikatakan dilakukan dalam
keadaan bersih?
Penternakan babi bukan menjadi penyebab 100
peratus kepada pencemaran alam sekitar. Sebaliknya penyebab utama ialah amalan
yang diguna pakai dari segi pengurusan sisa yang tidak teratur.
Kunci di sini ialah pengurusan yang teratur.
Jika amalan menjaga kebersihan dan kawalan kesihatan di ladang babi
dipertingkatkan masalah pencemaran alam sekitar boleh diatasi. Ada banyak
ladang babi di Eropah, tetapi pencemaran sudah dikawal pada tahap minimum.
Di Eropah dan di Amerika Syarikat pelbagai
sistem diguna untuk proses olahan sisa ternakan. Pendekatan moden perlu seperti
diamalkan di negara Barat. Ini penting untuk menjadikan kaedah penternakan babi
dan proses seperti sembelihan dan pemprosesan daging adalah bersih.
Perlu ditekankan di sini standard kebersihan
yang tinggi amat penting. Penternakan babi moden dapat memenuhi kehendak ini.
Keseimbangan kepada persekitaran dapat dijaga melalui amalan kaedah lebih
saintifik.
Apakah kes penting
yang membuktikan pencemaran alam sekitar akibat penternakan babi? Sebenarnya epidemik seperti penyakit JE dan Virus Nipah
adalah kes klasik berkaitan pencemaran alam sekitar akibat penternakan babi.
Ketika epidemik JE yang berlaku antara Mac
1999 hingga Jun 1999 disebabkan pembiakan nyamuk Culex dalam air tercemar di
sekitar ladang babi menyebabkan beratus ribu babi dibunuh. Tidak payah untuk
memperkatakan kerugian yang dialami penternak dan kerajaan ketika itu.
Sesetengah pakar percaya ini terjadi kerana
keadaan ladang babi yang kotor dan tahap pengurusan sisa kumbahan rendah
mengakibatkan bilangan babi dijangkiti virus tinggi. Kini epidemik ini sudah
dapat dikawal.
Bagaimanapun ramai penternak babi muflis.
Oleh itu, kerajaan perlu mengkaji semula penternakan babi ini demi kepentingan
orang ramai dan kesejahteraan alam sekitar.
Apa sepatutnya
dilakukan untuk memperbaiki amalan penternakan babi supaya alam sekitar tidak
tercemar?
Tahap kebersihan ladang babi amat penting.
Keseimbangan alam sekitar secara semula jadi dapat dijaga dengan amalan
saintifik seperti menukar sisa kepada biogas untuk menjana kuasa elektrik. Ini
boleh diguna oleh ladang berkenaan dan juga tanaman makanan untuk haiwan
ternakan.
Penternak babi sepatutnya membina sistem
kumbahan najis yang dapat mengurangkan masalah bau busuk selain memastikan
tidak menyalurkan najis ke sungai berdekatan. Sebelum ladang babi dapat
dibangunkan, terlebih dulu kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) perlu
dijalankan. Ini untuk memastikan penternak babi mematuhi segala tuntutan dalam
menjaga alam sekitar.
Dari segi pengangkutan untuk menjaga
sensitiviti orang Islam, lori perlu tertutup dan dilakukan pada waktu tertentu
saja. Ini dapat mengurang masalah bau dan pencemaran dan dapat membantu
mengendurkan kemarahan masyarakat Islam.
Di sini bukan bermaksud cuma untuk menangani persoalan halal dan haram, tetapi lebih
daripada itu ialah persoalan kesihatan yang berpunca akibat haiwan ini yang
sudah dibuktikan secara saintifik.
No comments:
Post a Comment