Isu babi memang sensitif. Untuk elak sebut perkataan babi, maka ditukar kepada nama khinzir, Namun
biarpun ditukar nama, babi tetap babi, haram dan menjijik bagi orang
Islam.
Masalah ternakan babi yang ketara ialah soal kebersihan. Mana-mana
kawasan penternakan babi di Malaysia berdepan dengan masalah kebersihan dan bau
busuk.
Untuk menghadapi masalah tersebut, dicadangkan projek
penternakan babi bersepadu di mana semua proses berkaitannya dilakukan di satu
kawasan, seperti penternakan dan penyembelihan.
Tahun 2008 dulu heboh dengan projek penternakan babi
berskala besar melibatkan kos lebih 100 juta ringgit yang diluluskan kerajaan
negeri Selangor. Tidak pasti pula
perkembangan projek tersebut.
Apapun, perladangan babi secara kecil-kecilan wajar
dihentikan. Para penternak berkenaan perlu dibimbing supaya memilih ternakan
yang kurang risiko kepada alam sekitar selain ia tidak menjejaskan sensitiviti
kaum dan agama di negara ini.
Singapura telah pun berbuat demikian. Walaupun majoriti
penduduknya orang Cina, mereka memilih untuk mengimport daging itu. Ia sudah
tentu mengambil banyak pertimbangan, antaranya sudah pasti soal ancaman kepada
alam sekitar.
Sebenarnya, risiko ladang babi, sama ada berskala besar
dan moden ataupun yang diternak secara kecil-kecilan, terhadap alam sekitar
amat tinggi berbanding ternakan haiwan lain. Bezanya, ternakan secara moden
lebih terkawal.
Berkaitan ancaman penyakit berkaitan babi, rakyat tentu
tidak lupa kes yang terjadi apabila Negeri Sembilan dan Selangor ‘diserang’
wabak penyakit Japanese Encephalitis (JE) pada tahun 1999. Hal ini telah banyak
membawa kesusahan dan keperitan hidup seharian rakyat khususnya di sekitar
kawasan yang dilanda wabak ini.
Menurut World Health Organization, virus JE disebarkan oleh
nyamuk jenis Culex Tritaenniorhynhcus dan Culex Vishnui yang hidup di kawasan
seperti sawah. Apabila nyamuk jenis tersebut menghisap darah babi, virus
berkenaan dipindahkan ke dalam badan babi dan membiak.
Wabak tersebut menakutkan seluruh penduduk Malaysia dan
memberi implikasi negatif kepada industri pelancongan dan perhotelan, serta
pendangan umum masyarakt dunia terhadap Malaysia.
Untuk mengurangkan pencemaran
alam sekitar akibat industri babi di negara ini, kerajaan sedang melaksanakan program penstrukturan
industri babi iaitu menyusun kedudukan ladang supaya tidak memberi kesan buruk
kepada penempatan penduduk sama ada di kampung atau bandar serta menimbulkan
kesan sosial kepada masyarakat.
Penstrukturan itu juga membabitkan penyusunan
semula pengurusan ladang dengan cara baru untuk mengurangkan masalah pencemaran
air, bau, bunyi serta masalah seperti ternakan berkeliaran dan lalat.
Kita mahu dengan adanya penstrukturan ini,
industri kekal tanpa menjejaskan masyarakat dan alam sekitar.
Kerajaan sudah mencadangkan pembentukan
konsep pembangunan Kawasan Peladangan Babi (PFA) kepada kerajaan negeri. Namun,
ia sukar dilaksanakan kerana tidak semua negeri bersetuju.
Sehubungan itu, negeri yang tidak dapat
melaksanakan PFA perlu menternak babi menerusi konsep peladangan babi moden
(MPF).
MPF mempunyai empat kriteria iaitu ladang
tertutup; mempraktikkan pengolahan sisa buangan sifar (zero discharge) bermakna
tidak boleh membuang najis atau apa-apa sisa dalam kolam, parit, sungai dan
laut; membangunkan infrastruktur yang baik dan mencukupi untuk ternakan dan
keempat menetapkan kuota untuk pengeluaran babi.
Kuota bergantung kepada kuota ibu babi,
bermakna ibu babi tidak boleh lebih daripada keupayaan ladang. Contohnya, jika
ladang bersaiz 50 ekar hanya boleh pelihara 1,000 babi. Ini bergantung kepada
saiz ladang mengikut negeri. Semua negeri kena ikut kriteria ini.
Konsep PFA ini sudah diperkenalkan Jabatan
Perkhidmatan Veterinar sejak 1991. Malah, Februari 1991, Kabinet bersetuju PFA
dijadikan asas kerajaan negeri menyusun semula ladang ternakan babi di negeri
masing-masing untuk mengatasi masalah pencemaran serta kesan sosial terhadap
penduduk setempat.
Kos melaksanakan PFA lagi tinggi berbanding
MPF dan kaedah berselerak yang sedia ada. Namun, kerajaan negeri sebenarnya
tiada pilihan lain jika benar-benar memastikan industri ini tidak memberi kesan
kepada penduduk setempat dan alam sekitar.
Soalnya kini, sama ada mahu pelihara atau
tidak, jika kerajaan negeri mahu memelihara dan menternak babi mereka perlu
melaksanakan PFA. Jika enggan, jangan ternak. Kita sebenarnya jika boleh tidak
mahu beri alternatif lain untuk penternakan babi ini.
Dalam isu ini, kerajaan negeri kena mengambil
kira sensitiviti penduduk setempat. Isu sensitiviti adalah penting dalam
mana-mana pembangunan yang bakal dilaksanakan.
Pembangunan ladang ternakan babi sepatutnya
mengambil kira sensitiviti sosial, bukan hanya isu penempatan penduduk dan
kesannya kepada alam sekitar saja.
Contohnya, babi yang dibawa keluar dari
ladang untuk di hantar ke rumah penyembelihan perlu di ambil kira dan
dipastikan ia tidak diangkut dengan lori terbuka.
Cuba kita bayangkan jika babi di bawa dalam
lori terbuka, terutama waktu hujan, bagaimana dengan nasib pengguna jalan raya
sepanjang jalan berkenaan, pastinya mereka terkena air dari babi itu. Perkara
seperti ini perlu dipandang serius kerajaan negeri bukannya soal penternakan
dan pencemaran saja.
Kerajaan akan menguatkuasa pengangkutan untuk
mengangkut babi. Kita akan tetapkan supaya hanya ada lori khas tertutup berhawa
dingin mengangkut haiwan ini. Lori terbuka dan tutup dengan kanvas tidak lagi
dibenarkan. Kita tidak mahu lagi babi ini boleh dilihat oleh pengguna jalan
raya.
Pengeluaran dari rumah penyembelihan juga
ditetapkan tidak lagi boleh digantung di dalam lori secara terbuka, tidak
bersih dan dijual di kawasan perumahan secara terbuka. Penguatkuasaan itu juga
termasuk larangan menjual daging babi secara terbuka di pasar atau dijual
berdekatan dengan produk halal.
Kerajaan kini dalam proses membentuk program
untuk melaksanakan peraturan berkenaan dan kita akan mengambil kira kesan
sensitiviti sosial ini.
PFA lebih baik berbanding MPF kerana semua
urusan berkaitan ternakan hingga ke penghasilan produk dilaksanakan dalam satu
kawasan, manakala MPF hanya menjalankan penternakan cara moden dengan teknologi
terkini sedangkan kawasan ladang dan rumah penyembelihan mungkin berasingan.
Dari segi kos, PFA lebih tinggi berbanding
MPF. Ini mungkin menyebabkan kebanyakan kerajaan negeri enggan melaksanakan PFA
kerana mereka kena mengeluarkan perbelanjaan untuk membeli tanah, membina
kilang, rumah penyembelihan dan kuarantin serta perkhidmatan veterinar.
Kita tetapkan pengeluaran ladang berkenaan
hanya untuk menampung keperluan negeri berkenaan saja, bukan negeri lain.
No comments:
Post a Comment