Tuesday, 31 July 2018

MENJAGA MULUT MENGUCAP PERKATAAN BURUK

Menjaga mulut bermakna mengucapkan perkataan yang baik-baik dan mengelak daripada keluar perkataan mendatangkan keburukan. Bagaimanapun, seringkali berlaku ketika bercakap terkeluar perkataan tidak baik dengan tidak sengaja. Keadaan itu memang sukar dielakkan. 

Justeru untuk mengelak terkeluar perkataan tidak baik dengan sengaja ialah diam. Perkara ini ditegaskan oleh Rasulullah melalui sabda bermaksud: “Sesiapa diam, nescaya dia terlepas (daripada bahaya).” – (Hadis riwayat Tarmizi). 

Bagaimanapun, hadis tersebut  tidak pula bermakna Rasulullah melarang daripada bercakap. Sebaliknya ia lebih berupa satu peringatan. Orang yang mementingkan nilai baik dalam kehidupan pasti sentiasa berhati-hati setiap kali bercakap.

Untuk mengelak memperkatakan sesuatu perkara buruk ialah menjauhkan diri daripada situasi yang mendorong perkataan-perkataan buruk diucapkan. Contohnya, jauhkan diri daripada mereka yang dikenali sering bercakap perkara-perkara tidak baik. Jika kita bersama-samanya, sudah pasti turut sama terpengaruh mengucapkan perkataan itu.

Didapati ramai yang mengamalkan perbuatan mengumpat, mencela, berbohong, mencarut dan bersaksi dusta disebabkan pengaruh kawan. Setiap kali mendengar perkataan buruk itu dia akan mempengaruhi jiwa agar menyukai perkataan itu biarpun diketahui baik. Mula-mula suka mendengar sahaja, tetapi lama kelamaan turut mengucapkannya.

Berkawan dengan orang berpekerti rendah menyebabkan perbuatan buruknya ‘berjangkit’ kepada seseorang. Sebab itu soal memilih kawan perlu diambil berat agar tidak mendatangkan keburukan akibat kawan itu. Sebab itu dikatakan untuk mengenal seorang itu, lihatlah siapa kawannya.

Sudah kebiasaan apabila berada dalam kumpulan lebih daripada seorang, maka terkeluar percakapan yang diselang seli dengan kata-kata tidak baik. Malah banyak perkataan yang bermaksud buruk diucapkan secara berbisik-bisik. Tujuan berbisik-bisik itu dirasakan ‘terbaik’ untuk mengelak perkara merebak didengari oleh ramai orang.

Sebenarnya biarpun dalam keadaan berbisik-bisik, ia tetap ditegah dan mendatangkan mudarat. Seseorang tidak akan berbisik-bisik jika perkara berbentuk kebaikan. Hanya perkara buruk yang akan disembunyikan.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, apabila kamu berbisik-bisik sesama sendiri, maka janganlah kamu berbisik-bisik untuk melakukan dosa dan pencerobohan serta perbuatan derhaka kepada Rasulullah. Hendaklah kamu bertakwa kepada Allah, yang kepada-Nya kamu kelak bakal dihimpunkan.” – (Surah al-Mujaadalah ayat 9).

No comments:

Post a Comment