Hakikat ini dinyatakan dalam sabda
Rasulullah bermaksud: “Diam itu adalah suatu hukum dan sedikitlah (orang) yang
melaksanakannya.” – (Hadis riwayat Abu Mansur ad-Dailami).
Mungkin ramai berkata, jika tidak
bercakap nanti dianggap oleh orang lain bersikap sombong dan seperti orang
bodoh. Perintah berdiam itu sebenarnya apabila dirasakan perkara dicakapkan itu
akan menjuruskan kepada pengeluaran perkataan yang tidak baik.
Tidak sukar untuk membezakan topik
mendatangkan perkataan buruk. Tambahan pula jika dikenal pasti orang-orang yang
bercakap itu memang suka bercakap perkara buruk. Dalam situasi itu adalah lebih
baik berdiam diri.
Justeru, apabila dalam keadaan diam,
maka tidak akan terucap perkataan buruk. Ketika itu cubaan amat berat kerana sifat buruk sentiasa dibisikan oleh
syaitan. Syaitan akan cuba menguasai hati dan fikiran agar turut memperkatakan
perkataan buruk. Untuk mengelak dikuasai oleh syaitan, banyak-banyaklah memohon
perlindungan dari Allah dari pengaruh syaitan direjam dengan mengucapkan
‘auzubillahi minasyaitanni rajim’.
Jika dirasakan tidak mampu berdiam
diri, maka lebih baik meninggalkan tempat itu. Tindakan itu mungkin dianggap
biadap dalam pengertian hidup bermasyarakat atau berkawan, tetapi itu lebih
baik daripada mendapat kemurkaan Allah.
Oleh itu sesiapa yang mengawal
daripada mengucapkan perkataan buruk bermakna menjaga dirinya daripada
kemurkaan Allah. Justeru, balasan baik dijanjikan kepada mereka yang berjaya
mengelak dari mengeluarkan perkataan buruk.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa
mengawal lidahnya (daripada memperkatakan kehormatan orang) maka Allah akan
menutup kecelaannya (hal-hal yang memalukan). Sesiapa yang menahan
kemarahannya, Allah akan melindunginya daripada seksa-Nya. Dan sesiapa yang meminta
kelonggarannya kepada Allah, maka Allah akan menerima permintaan
kelonggarannya.” - (Hadis riwayat Ibnu Abib-Duanya).
Sesungguhnya mengawal lidah daripada
berkata-kata perkara buruk merupakan lambang keimanan. Sesungguhnya mereka yang
beriman tidak sekali-kali akan memperkatakan perkara yang ditegah.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa
yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang
baik maupun dia diam.” - (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis lain pula dikatakan
tidak lurus (sempurna) iman seseorang yang tidak lurus pada lidahnya. Hadis
diriwayatkan oleh Ibnu Abid-Dunya bermaksud: “Tidak akan lurus iman seseorang
hamba, sehingga lurus pula hatinya, dan tidak akan lurus hatinya sehinggalah
lurus pula lidahnya. Dan seorang hamba tidak akan masuk syurga selagi
tetangganya belum aman daripada kejahatannya.”.
Di antara perkataan buruk yang
sering diucapkan ialah membuat fitnah. Allah meletakkan dosa membuat fitnah
lebih buruk kesannya daripada membunuh. Firman Allah dalam surah al-Baqarah
ayat 217 bermaksud: “Fitnah itu besar (dahsyat) dari melakukan pembunuhan.”
Maka sebab itu ada pepatah menyebut
lidah itu lebih tajam daripada pedang. Pedang yang disalahgunakan atau tidak
dijaga dengan baik pasti mendatangkan bahaya kepada diri orang lain dan mungkin
juga kepada pemiliknya.
Sesiapa yang menjaga mulutnya, maka
dia diberi balasan syurga. Perkara ini dinyatakan oleh Rasulullah dalam
sabdanya diriwayatkan oleh Bukhari bermaksud: “Sesiapa memberi jaminan kepadaku
apabila yang di antara dua tulang rahangnya (lidah) dan yang di antara dua
kakinya (kemaluan), nescaya aku akan menjamin baginya syurga.”.
Jika seseorang berjaya mengawal
mulutnya dijamin ke syurga, maka sebaliknya jika gagal mengawalnya. Seorang
sahabat pernah menanyakan kepada Rasulullah apakah sebab terbesar seseorang
masuk neraka, maka baginda menjawab dengan sabdanya bermaksud: “Dua rongga
badan iaiatu mulut dan kemaluan.” - (Hadis riwayat at-Tarmizi dan Ibnu Majah).
Jelaslah menjaga lidah itu amat
penting dalam menjamin kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Mereka yang hidup
dalam keadaan lidahnya hanya menyebut perkataan baik, dialah seorang yang bijak
dan darjatnya tinggi di sisi Allah.
No comments:
Post a Comment