Justeru, tepat sekali dikatakan
lidah merupakan pancaindera terpenting. Mereka tidak boleh bercakap atau bisu
dikategorikan sebagai cacat atau kekurangan pancaindera. Justeru, mereka yang
dikurniakan kebolehan bercakap perlu menggunakan anugerah Allah itu dengan
sebaik-baiknya.
Perkara ini perlu diberi perhatian kerana
di sebalik keistimewaan itu banyak wujud keburukan jika salah digunakan. Tidak
dinafikan banyak bencana dan keburukan boleh berlaku berpunca daripada mulut. Abu
Bakar as-Siddiq pernah menunjukkan lidahnya kepada seseorang lantas berkata:
“Inilah mendatangkan hal-hal kebinasaan kepadaku.”
Sebab itu pepatah orang tua ada
mengingatkan ‘kerana mulut badan binasa’. Justeru bila bercakap perlu
berhati-hati agar tidak terkeluar perkataan mendatangkan keburukan. Sepatah
perkataan terkeluar, sukar untuk ditarik balik.
Maka ingatlah kata-kata ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata
badan binasa”.
Seorang pemikir Islam, Ibnu Thaus
mengumpamakan lidahnya seperti binatang buas yang jika dilepas bebas nescaya
akan memakan dirinya sendiri. Maka, harus lidah itu dijaga dengan
sebaik-baiknya agar tidak terlepas kata yang membinasakan diri sendiri.
Sebab itu soal menjaga mulut perlu
diberi perhatian oleh setiap umat Islam. Menjaga mulut disamakan seperti
menjaga agama. Ia menjadi lambang peribadi umat Islam yang mementingkan pekerti
mulia.
Mereka yang gagal mengawal mulut
menyebabkan kerosakan kepada agama akibat kesannya. Perpecahan umat banyak
berlaku disebabkan perbuatan saling mencabar menggunakan perkataan-perkataan
buruk, umpat keji dan menjatuhkan maruah.
Perpecahan di kalangan umat Islam
dapat melemahkan kesatuan dan kekuatan. Keadaan ini dengan mudah digunakan oleh
musuh Islam untuk memburuk-burukkan Islam. Mereka dengan mudah menggunakan isu
perpecahan umat Islam sebagai kelemahan ajaran Islam.
Yakinlah, Islam agama kebaikan. Tidak
ada satupun ajaran Islam mengajar kepada keburukan. Keburukan dan kelemahan itu
dilakukan oleh umat Islam yang sifat imannya masih lemah dan kurang penghayatan
kepada ajaran Islam. Ini termasuklah suruhan menjaga mulut yang kurang diambil
perhatian oleh sesetengah orang Islam.
No comments:
Post a Comment