Friday, 6 July 2018

PANTAI CAHAYA BULAN BERUBAH WAJAH

Pantai Cinta Berahi atau Pantai Cahaya Bulan atau ringkasnya PCB terkenal di Kelantan. Pantai Cahaya Bulan terkenal dengan kawasan pantai yang landai dan pasir putih halus. Pengunjung dapat mandi manda dan bermain air ombak dengan gembira. Kawasan tumpuan pelancong itu juga dihiasi dengan pokok rhu dan pokok kelapa yang melambai-lambai kedatangan setiap pengunjungnya.  

Namun, itu hanya tinggal sejarah bagi Pantai Cahaya Bulan. Sejak tahun 80an, kawasan pantai mengalami proses hakisan pantai yang teruk, terutama pada musim tengkujuh Monsun Timur Laut. Ketika itu ombak besar memukul pantai. 

Setiap kali musim tengkujuh, kawasan pantai terhakis sedikit demi sedikit. Hakisan itu mnyebabkan kemusnahan bangunan, gerai dan pokok yang berada di tepi pantai. Kira-kira 100 meter kawasan pantai telah dihakis dan menjadi sebahagian daripada laut.   

Sebuah montel terkenal di Pantai Cahaya Bulan yang banyak menyimpan sejarah awal pusat peringinan terkenal itu terpaksa menutup operasinya dan bangunannya dirobohkan. Kawasan menempatkan berpuluh-puluh gerai makan yang menjual pelbagai jenis colek makanan laut juga telah tiada. Semuanya telah ditelan ombak. 

Bermula penghujung tahun 2004, Jabatan Pegairan dan Saliran (JPS) telah membina sistem lapis lindung menggunakan batu besar di Pantai Cahaya Bulan yang mampu mengatasi masalah hakisan. 

Namun, pembinaan itu secara langsung mengubah sepenuhnya wajah Pantai PCB. Pantai yang satu ketika dahulu terkenal dengan pantai yang landai, serta hamparan pasir yang putih, kini bertukar menjadi pantai batu. 

Biarpun Pantai Cahaya Bulan telah bertukar wajar, kehadiran pelancong masih ramai, terutama pada sebelah petang hari cuti. Pengunjung masih menjadikan pemandangan indah dan suasana damai menggamit kedangan mereka.

Sebenarnya, Pantai Cahaya Bulan adalah antara pusat peranginan terawal di Kelantan yang telah mula dikenali pada awal tahun 1900 dan pernah dijadikan pusat istirahat pegawai dan tentera Jepun ketika Jepun menjajah negara kita. 

Pada awalnya Pantai Cahaya Bulan dikenali Pantai Semut Api sempena nama kampung di mana pantai itu terletak. Bagaimanapun kemudiannya dikenali Pantai Cinta Berahi yang mana ringkasnya PCB. 

Namun bagi kebanyakan rakyat Kelantan, ringkasan PCB telah dianggap nama khas dan sebab itu apabila merujuk PCB, dipanggil Pantai PCB, walaupun perkataan pantai telah diwakili huruf ‘P’. 

Pada tahun 1990, Pantai Cinta Berahi telah ditukar nama Pantai Cahaya Bulan. Namun, pertukaran nama itu masih mengekalkan nama Pantai PCB.  

Pantai PCB disenaraikan antara pantai peranginan tercantik di negara kita. Hembusan bayu Laut China Selatan dan keadaan pantai yang bersih menjadikan tumpuan ramai setiap hari dan menjadi sesak dengan pengunjung pada hari cuti.

Kedudukan Pantai PCB yang hanya kira-kira 9 kilometer dari Kota Bharu menjadi faktor mudah dikunjungi. Penduduk Kota Bharu menjadikan Pantai PCB tempat ambil angin pada sebelah petang bersama keluarga maupun kawan-kawan.

Selain itu, sepanjang Jalan PCB merupakan tempat menjadi kunjungan pelancong seperti kedai songket di Penambang, kedai pertukangan tembaga di Badang dan kedai membuat wau hiasan di Kedai Buluh. Malah, beberapa ratus meter dari tepi pantai terdapat berpuluh buah kedai batik yang menjadi tumpuan pelancong. 

Jadi, selepas berkunjung ke tempat-tempat tersebut, langsung pelancong terus ke Pantai PCB. Pengunjung yang datang ke Kelantan tidak sah jika tidak menjenguk biarpun sekejap di Pantai PCB. Nama Pantai PCB memang sinonim dengan Kelantan. 

No comments:

Post a Comment