Jalan
berlubang memang menyusahkan pengguna jalan raya. Paling geram, kereta dan
motosikal boleh rosak teruk dibuatnya. Kalau nasib tidak baik, boleh belaku kemalangan
yang mengorbankan nyawa.
Masalah
jalan berlubang kerap berlaku pada musim hujan. Pada musim panas juga tidak
terkecuali berlaku kerosakan jalan, tetapi kadarnya tidak seteruk musim hujan.
Kerosakan
berpunca daripada jumlah kenderaan tinggi yang melalui jalan berkenaan selain
kenderaan berat seperti lori dan treler membawa muatan melebihi had ditetapkan.
Satu
masalah besar berkaitan penyelengaraan jalan ialah berkaitan kos yang kian
meningkat. Beberapa isu yang menjadi kebimbangan apabila peruntukan tidak cukup
untuk program kerja penyelenggaraan jalan di seluruh negara sama ada jalan
persekutuan mahupun jalan negeri tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual.
Kegagalan
memenuhi jadual penyelenggaraan atau membaik pulih jalan-jalan menjejaskan
prestasi sehingga kepada kegagalan struktur jalan raya yang sekali gus boleh
mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.
Malah
apabila terlalu lama ditangguh, ada kemungkinan kos penyelenggaraan jalan raya
menjadi tidak lestari atau terlalu mahal pada masa depan. Prestasi jalan di
seluruh negara ketika ini kurang memberangsangkan.
Penyelenggaraan
berjadual sangat penting terutama jalan yang sudah tiba had tempoh untuk
diturap atau dibina semula.
Rekahan
jalan antara masalah sering berlaku pada jalan. Rekahan jalan biasanya bermula
dengan keretakan kecil sebelum ia bertambah dan bersambung antara satu sama
lain seakan-akan seperti kulit buaya.
Rekahan
panjang ini sering berlaku di bahagian kiri atau kanan lorong. Ini menunjukkan
struktur jalan itu lemah dan akhirnya membentuk lubang dan lopak.
Masalah
lain adalah permukaan jalan yang melendut. Lazimnya ia terjadi pada laluan
mendaki kerana kenderaan berat melaluinya dengan lebih perlahan yang boleh
menyebabkan lendutan.
Lendutan
juga boleh berlaku di persimpangan akibat kenderaan membrek dan mula bergerak.
Permukaan jalan yang mengalami lendutan akan menakung air ketika hujan dan
boleh membahayakan pengguna jalan raya.
Selain
itu, kerosakan jalan berlaku apabila batu baur pada permukaan jalan tercabut
dan menyebabkannya menjadi kasar.
Keadaan
itu biasanya berlaku pada jalan yang sudah lama diturap menyebabkan bitumen
mengeras. Kerosakan sama turut berlaku di lokasi jalan berselekoh.
Apabila
bitumen mengeras, daya pengikat di antara bitumen dan batu berkurangan dan akan
menyebabkan batu tercabut kerana tolakan sendeng.
Isi
padu kenderaan yang tinggi dan kenderaan berat seperti lori dan treler membawa
lebih muatan akan mempercepatkan lagi kerosakan berkenaan dan memendekkan
jangka hayat jalan.
Penyelenggaraan
bagi membaik pulih jalan perlu dilakukan awal bagi mengelak kerosakan menjadi
lebih teruk.
Sesetengah penyelenggaraan membabitkan aspek keselamatan pengguna
seperti mengecat kembali garisan di atas jalan bagi membantu pengguna terutama
yang memandu pada waktu malam.
No comments:
Post a Comment