Tuesday, 19 December 2017

BINCANG MASALAH SALAH FAHAM TINDAKAN GURU


Kes Cikgu Azizan Manap perlu dijadikan iktibar semua pihak, khasnya ibu bapa. Bukan mencari salah siapa, tetapi bertujuan agar perkara sama tidak berulang.  

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sekolah Rendah Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan itu, dituduh kerana dikatakan menampar seorang pelajar yang didakwa melakukan kesalahan disiplin berat berulang.

Ibu bapa perlu berhemah dalam mendepani isu anak dengan guru. Jika difikirkan ada kesalahan dilakukan pihak guru dalam melaksanakan tugas, ibu bapa jangan terburu-buru agar tidak tersalah langkah.

Guna pendekatan betul melalui saluran seperti pengurusan sekolah atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tentang permasalah berkaitan anak-anak.

Pendekatan bersemuka dan bermesyuarah perlu diamalkan. Bukannya pendekatan bermusuhan termasuk menyerang atau terus menyaman guru.

Setiap tindakan guru tentu ada bersebab. Guru berasa tanggungjawab mengambil tindakan untuk menyelesaikan sesuatu kes melibatkan pelajar.

Hormati kedudukan guru dalam melaksanakan tugas yang semakin mencabar.

Ibu bapa harus faham peranan guru bukan sekadar mengajar untuk mencapai kecemerlangan akademi, tetapi merangkumi aspek jasmani, emosi dan sahsiah.

Ibu bapa sepatutnya bertindak selari apa yang dididik oleh guru di sekolah ketika murid berada di rumah. Ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak menjalani kehidupan berteraskan nilai baik dan mencegah perbuatan buruk.

Ibu bapa tidak sepatutnya menyerahkan sepenuhnya kepada guru atau terus melenting apabila terjadi sesuatu terhadap anak-anak tanpa usul periksa.

Dalam masa yang sama, guru-guru diharap dapat  mengawal emosi ketika menjalankan amanah agar tidak tergelincir daripada aturan sedia ada.

Imej guru perlu diperkasakan. Tahap penghormatan terhadap guru perlu diperkasakan semula. Konflik hubungan guru dan ibu bapa perlu dileraikan dengan sebaik-baiknya.

No comments:

Post a Comment