Tuesday 19 December 2017

ISU PENTERNAKAN BABI DI MALAYSIA

Penternakan babi di negara ini dilaksanakan sejak 1970-an atau lebih awal, kebanyakannya di luar bandar. Ketika itu, ladang babi adalah perusahaan keluarga skala kecil-kecilan. Penternakan ini biasanya bergiat secara haram dan tiada peruntukan untuk membina sistem pengurusan sisa yang teratur, terutama sistem olahan efluen kumbahan najis.

Sungai tersumbat dengan sisa ternakan babi kerana penternak membuang semuanya ke dalam sungai. Penternak berasa dengan kaedah tradisional ini, mereka boleh mengurangkan kos dan seterusnya memperoleh keuntungan tinggi.

Sebenarnya ini mendedahkan pekerja ladang babi kepada penyakit. Senario yang kita nampak ialah merebaknya penyakit disebabkan pengurusan yang amat lemah dan keadaan ladang babi itu sendiri. 

Kaedah tradisional dilihat sebagai punca pembiakan nyamuk Culex dan ini memungkinkan virus yang membawa penyakit disebarkan kepada manusia seperti ketika era JE (Japanese Encephalitis) atau Virus Nipah yang meragut nyawa penduduk Bukit Pelanduk, Port Dickson.

Memang kebanyakan ladang babi di Malaysia tidak dilengkapi prasarana pengurusan sisa yang sesuai, terutama membabitkan sisa buangan atau efluen kumbahan najis.

Ini menyebabkan pencemaran yang teruk. Mungkin penternak tiada kemampuan menyediakan prasarana ini. Jika penternakan babi masih pada takuk lama, risiko seperti Bukit Pelandok harus kita hadapi.

Selain pencemaran sungai dan pembiakan nyamuk Culex akibat pembuangan sisa ternakan ke dalam sungai, kesihatan pekerja tidak terjaga tanpa suntikan pelalian. Lebih menyedihkan penternak dan pekerja tidak memakai peralatan keselamatan seperti sarung tangan dan apron yang memungkinkan mereka terdedah kepada gigitan nyamuk ini.

Apakah semestinya penternakan babi mencemarkan alam sekitar. Bagaimana dengan amalan di negara lain. Di Amerika Syarikat, penternakan haiwan ini dikatakan dilakukan dalam keadaan bersih?

Penternakan babi bukan menjadi penyebab 100 peratus kepada pencemaran alam sekitar. Sebaliknya penyebab utama ialah amalan yang diguna pakai dari segi pengurusan sisa yang tidak teratur.

Kunci di sini ialah pengurusan yang teratur. Jika amalan menjaga kebersihan dan kawalan kesihatan di ladang babi dipertingkatkan masalah pencemaran alam sekitar boleh diatasi. Ada banyak ladang babi di Eropah, tetapi pencemaran sudah dikawal pada tahap minimum.

Di Eropah dan di Amerika Syarikat pelbagai sistem diguna untuk proses olahan sisa ternakan. Pendekatan moden perlu seperti diamalkan di negara Barat. Ini penting untuk menjadikan kaedah penternakan babi dan proses seperti sembelihan dan pemprosesan daging adalah bersih.

Perlu ditekankan di sini standard kebersihan yang tinggi amat penting. Penternakan babi moden dapat memenuhi kehendak ini. Keseimbangan kepada persekitaran dapat dijaga melalui amalan kaedah lebih saintifik.

Apakah kes penting yang membuktikan pencemaran alam sekitar akibat penternakan babi? Sebenarnya epidemik seperti penyakit JE dan Virus Nipah adalah kes klasik berkaitan pencemaran alam sekitar akibat penternakan babi.

Ketika epidemik JE yang berlaku antara Mac 1999 hingga Jun 1999 disebabkan pembiakan nyamuk Culex dalam air tercemar di sekitar ladang babi menyebabkan beratus ribu babi dibunuh. Tidak payah untuk memperkatakan kerugian yang dialami penternak dan kerajaan ketika itu.

Sesetengah pakar percaya ini terjadi kerana keadaan ladang babi yang kotor dan tahap pengurusan sisa kumbahan rendah mengakibatkan bilangan babi dijangkiti virus tinggi. Kini epidemik ini sudah dapat dikawal.

Bagaimanapun ramai penternak babi muflis. Oleh itu, kerajaan perlu mengkaji semula penternakan babi ini demi kepentingan orang ramai dan kesejahteraan alam sekitar.

Apa sepatutnya dilakukan untuk memperbaiki amalan penternakan babi supaya alam sekitar tidak tercemar?

Tahap kebersihan ladang babi amat penting. Keseimbangan alam sekitar secara semula jadi dapat dijaga dengan amalan saintifik seperti menukar sisa kepada biogas untuk menjana kuasa elektrik. Ini boleh diguna oleh ladang berkenaan dan juga tanaman makanan untuk haiwan ternakan.

Penternak babi sepatutnya membina sistem kumbahan najis yang dapat mengurangkan masalah bau busuk selain memastikan tidak menyalurkan najis ke sungai berdekatan. Sebelum ladang babi dapat dibangunkan, terlebih dulu kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) perlu dijalankan. Ini untuk memastikan penternak babi mematuhi segala tuntutan dalam menjaga alam sekitar.

Dari segi pengangkutan untuk menjaga sensitiviti orang Islam, lori perlu tertutup dan dilakukan pada waktu tertentu saja. Ini dapat mengurang masalah bau dan pencemaran dan dapat membantu mengendurkan kemarahan masyarakat Islam.

Di sini bukan bermaksud cuma untuk menangani persoalan halal dan haram, tetapi lebih daripada itu ialah persoalan kesihatan yang berpunca akibat haiwan ini yang sudah dibuktikan secara saintifik.

Selain itu, penternakan babi moden yang dilaksanakan secara berpusat dapat menghasilkan tenaga elektrik untuk kegunaan ladang. Pengurusan sisa najis menjamin tiada najis akan memasuki sungai sebelum diolah. 

No comments:

Post a Comment