Tuesday 19 December 2017

IMPORT DAGING BABI DAPAT SELESAI MASALAH

Isu babi memang sensitif. Untuk elak sebut perkataan babi, maka ditukar kepada nama khinzir, Namun biarpun ditukar nama, babi tetap babi, haram dan menjijik bagi orang Islam. 

Masalah ternakan babi yang ketara ialah soal kebersihan. Mana-mana kawasan penternakan babi di Malaysia berdepan dengan masalah kebersihan dan bau busuk. 

Untuk menghadapi masalah tersebut, dicadangkan projek penternakan babi bersepadu di mana semua proses berkaitannya dilakukan di satu kawasan, seperti penternakan dan penyembelihan. 

Tahun 2008 dulu heboh dengan projek penternakan babi berskala besar melibatkan kos lebih 100 juta ringgit yang diluluskan kerajaan negeri Selangor. Tidak pasti pula perkembangan projek tersebut. 

Apapun, perladangan babi secara kecil-kecilan wajar dihentikan. Para penternak berkenaan perlu dibimbing supaya memilih ternakan yang kurang risiko kepada alam sekitar selain ia tidak menjejaskan sensitiviti kaum dan agama di negara ini.

Singapura telah pun berbuat demikian. Walaupun majoriti penduduknya orang Cina, mereka memilih untuk mengimport daging itu. Ia sudah tentu mengambil banyak pertimbangan, antaranya sudah pasti soal ancaman kepada alam sekitar.

Sebenarnya, risiko ladang babi, sama ada berskala besar dan moden ataupun yang diternak secara kecil-kecilan, terhadap alam sekitar amat tinggi berbanding ternakan haiwan lain. Bezanya, ternakan secara moden lebih terkawal.

Berkaitan ancaman penyakit berkaitan babi, rakyat tentu tidak lupa kes yang terjadi apabila Negeri Sembilan dan Selangor ‘diserang’ wabak penyakit Japanese Encephalitis (JE) pada tahun 1999. Hal ini telah banyak membawa kesusahan dan keperitan hidup seharian rakyat khususnya di sekitar kawasan yang dilanda wabak ini.

Menurut World Health Organization, virus JE disebarkan oleh nyamuk jenis Culex Tritaenniorhynhcus dan Culex Vishnui yang hidup di kawasan seperti sawah. Apabila nyamuk jenis tersebut menghisap darah babi, virus berkenaan dipindahkan ke dalam badan babi dan membiak.

Wabak tersebut menakutkan seluruh penduduk Malaysia dan memberi implikasi negatif kepada industri pelancongan dan perhotelan, serta pendangan umum masyarakt dunia terhadap Malaysia. 

Untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar akibat industri babi di negara ini, kerajaan sedang melaksanakan program penstrukturan industri babi iaitu menyusun kedudukan ladang supaya tidak memberi kesan buruk kepada penempatan penduduk sama ada di kampung atau bandar serta menimbulkan kesan sosial kepada masyarakat.

Penstrukturan itu juga membabitkan penyusunan semula pengurusan ladang dengan cara baru untuk mengurangkan masalah pencemaran air, bau, bunyi serta masalah seperti ternakan berkeliaran dan lalat.

Kita mahu dengan adanya penstrukturan ini, industri kekal tanpa menjejaskan masyarakat dan alam sekitar.  

Kerajaan sudah mencadangkan pembentukan konsep pembangunan Kawasan Peladangan Babi (PFA) kepada kerajaan negeri. Namun, ia sukar dilaksanakan kerana tidak semua negeri bersetuju.   

Sehubungan itu, negeri yang tidak dapat melaksanakan PFA perlu menternak babi menerusi konsep peladangan babi moden (MPF).

MPF mempunyai empat kriteria iaitu ladang tertutup; mempraktikkan pengolahan sisa buangan sifar (zero discharge) bermakna tidak boleh membuang najis atau apa-apa sisa dalam kolam, parit, sungai dan laut; membangunkan infrastruktur yang baik dan mencukupi untuk ternakan dan keempat menetapkan kuota untuk pengeluaran babi.

Kuota bergantung kepada kuota ibu babi, bermakna ibu babi tidak boleh lebih daripada keupayaan ladang. Contohnya, jika ladang bersaiz 50 ekar hanya boleh pelihara 1,000 babi. Ini bergantung kepada saiz ladang mengikut negeri. Semua negeri kena ikut kriteria ini.

Konsep PFA ini sudah diperkenalkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar sejak 1991. Malah, Februari 1991, Kabinet bersetuju PFA dijadikan asas kerajaan negeri menyusun semula ladang ternakan babi di negeri masing-masing untuk mengatasi masalah pencemaran serta kesan sosial terhadap penduduk setempat.

Kos melaksanakan PFA lagi tinggi berbanding MPF dan kaedah berselerak yang sedia ada. Namun, kerajaan negeri sebenarnya tiada pilihan lain jika benar-benar memastikan industri ini tidak memberi kesan kepada penduduk setempat dan alam sekitar.

Soalnya kini, sama ada mahu pelihara atau tidak, jika kerajaan negeri mahu memelihara dan menternak babi mereka perlu melaksanakan PFA. Jika enggan, jangan ternak. Kita sebenarnya jika boleh tidak mahu beri alternatif lain untuk penternakan babi ini.

Dalam isu ini, kerajaan negeri kena mengambil kira sensitiviti penduduk setempat. Isu sensitiviti adalah penting dalam mana-mana pembangunan yang bakal dilaksanakan.

Pembangunan ladang ternakan babi sepatutnya mengambil kira sensitiviti sosial, bukan hanya isu penempatan penduduk dan kesannya kepada alam sekitar saja.

Contohnya, babi yang dibawa keluar dari ladang untuk di hantar ke rumah penyembelihan perlu di ambil kira dan dipastikan ia tidak diangkut dengan lori terbuka.

Cuba kita bayangkan jika babi di bawa dalam lori terbuka, terutama waktu hujan, bagaimana dengan nasib pengguna jalan raya sepanjang jalan berkenaan, pastinya mereka terkena air dari babi itu. Perkara seperti ini perlu dipandang serius kerajaan negeri bukannya soal penternakan dan pencemaran saja.

Kerajaan akan menguatkuasa pengangkutan untuk mengangkut babi. Kita akan tetapkan supaya hanya ada lori khas tertutup berhawa dingin mengangkut haiwan ini. Lori terbuka dan tutup dengan kanvas tidak lagi dibenarkan. Kita tidak mahu lagi babi ini boleh dilihat oleh pengguna jalan raya.

Pengeluaran dari rumah penyembelihan juga ditetapkan tidak lagi boleh digantung di dalam lori secara terbuka, tidak bersih dan dijual di kawasan perumahan secara terbuka. Penguatkuasaan itu juga termasuk larangan menjual daging babi secara terbuka di pasar atau dijual berdekatan dengan produk halal.

Kerajaan kini dalam proses membentuk program untuk melaksanakan peraturan berkenaan dan kita akan mengambil kira kesan sensitiviti sosial ini.

PFA lebih baik berbanding MPF kerana semua urusan berkaitan ternakan hingga ke penghasilan produk dilaksanakan dalam satu kawasan, manakala MPF hanya menjalankan penternakan cara moden dengan teknologi terkini sedangkan kawasan ladang dan rumah penyembelihan mungkin berasingan.

Dari segi kos, PFA lebih tinggi berbanding MPF. Ini mungkin menyebabkan kebanyakan kerajaan negeri enggan melaksanakan PFA kerana mereka kena mengeluarkan perbelanjaan untuk membeli tanah, membina kilang, rumah penyembelihan dan kuarantin serta perkhidmatan veterinar.

Kita tetapkan pengeluaran ladang berkenaan hanya untuk menampung keperluan negeri berkenaan saja, bukan negeri lain.  

Maksudnya pengeluaran untuk menampung keperluan dan permintaan bukan menjadikan industri babi satu perniagaan untuk dijual kepada negeri lain. 

No comments:

Post a Comment