Sunday 11 February 2018

BAIK BURUK KHIDMAT DOULA


Khidmat doula dikatakan popular di sesetengah negara barat. Doula merupakan individu yang bukan dari bidang perubatan tetapi hadir memberi sokongan dari segi emosi dan fizikal kepada ibu-ibu mengandung sebelum, semasa dan selepas melahirkan anak.

Kelahiran melalui doula didakwa dapat mengurangkan risiko melahirkan anak secara pembedahan, kurang berkemungkinan untuk menggunakan sebarang ubat tahan sakit serta para ibu dapat melahirkan anak secara positif.

Kehadiran doula bukan bertujuan untuk mengganti tugas suami untuk berada di sisi isteri ketika bersalin. Mereka lebih dianggap sebagai sokongan tambahan untuk si ibu. Suami masih perlu memainkan peranan aktif dalam hal penjagaan isteri dan proses bersalin.

Apa beza antara doula dan bidan? Bidan adalah seorang ahli medikal terlatih dan profesional yang boleh membantu secara langsung ketika proses bersalin.

Manakala, doula pula hanya berfungsi sebagai peneman yang membantu untuk memberi panduan secara lisan tentang cara meneran atau mengurut bagi menenangkan ibu yang sedang bersalin.

Doula tidak boleh memberikan sebarang nasihat atau penjagaan perubatan kepada ibu hamil, terutamanya tentang hal obstetrik. Doula sama sekali tidak menggantikan tugasan jururawat, doktor dan doktor pakar.

Doula boleh berkongsi informasi tentang cara bersalin/penyusuan/penjagaan bayi tetapi tidak boleh menetapkan cara bersalin bagi pihak ibu.

Doula boleh menjadi sebahagian daripada kumpulan penasihat ibu (di samping doktor, jururawat dan bidan), tetapi bukanlah penasihat perubatan utama yang tunggal.

Doula sepatutnya tidak menangani kes ibu yang mempunyai kehamilan berisiko tinggi atau menangani sebarang isu kecemasan ketika bersalin.

Secara tersuratnya, doula memang amat diperlukan terutama kepada bakal ibu kali pertama melahirkan anak.

Doula juga dilihat dapat ‘ganti’ peranan ibu (ibu kepada ibu melahirkan anak) sebagai memberi nasihat dan bantuan. Sekarang ini ramai ibu baru bersalin tidak mendapat khidmat nasihat dan bantuan dari orang tua disebabkan tinggal berjauhan.

Namun, di sebalik kebaikan kehadiran doula, ia menimbulkan polimik dalam masyarakat apabila doula telah bertindak melepasi apa yang sepatutnya dilakukan.

Keadaan ini diburukkan apabila doula ‘agrasif’ memperkenalkan fungsi mereka dan mempromosikan kebaikan menggunakan ‘khidmat’ doula.

Untuk memperlihatkan kebaikan, banyak perkara yang tidak sepatutnya dilakukan telah menjadi ‘fungsi’ dan ‘kepakaran’ doula. Mereka memberi fakta yang bercanggah dengan amalan perubatan biasa.

Antara yang dipromosikan oleh doula ialah kelahiran di rumah yang dikatakan akan mengelak kemungkinan risiko melahirkan anak secara pembedahan, kurang berkemungkinan untuk menggunakan sebarang ubat tahan sakit serta para ibu dapat melahirkan anak secara positif.

Dalam kelahiran biasa, perkara itu tidak menjadi masalah. Ibu dahulu bersalin dengan selamat di rumah dengan bantuan bidan kampung.

Persoalannya apabila melibatkan kelahiran berisiko. Sudah ada kes kematian bayi akibat komplikasi ketika proses kelahiran yang berlangsung di rumah. Ibu dikatakan tidak ke hospital disebabkan mendengar nasihat doula.  

Kita sepatutnya ke hadapan, bukannya kembali kepada keadaan di mana bilangan hospital amat kurang dan berada jauh dari rumah.

No comments:

Post a Comment