Wednesday 30 May 2018

BAJU BARU GANJARAN BERPUASA

Puasa Ramadan tidak diwajibkan kepada kanak-kanak disebabkan faktor usia dan kematangan fikiran. Mereka belum memahami erti tanggungjawab, dosa dan pahala. 
  
Pun begitu, kanak-kanak perlu diberi pendedahan awal dengan ibadat puasa agar apabila baligh nanti tidak sukar untuk menunaikannya. Pendedahan atau latihan awal dapat dilakukan sebaik mereka mengetahui erti menahan diri daripada makan.

Latihan itu boleh dilakukan sejak usia lima atau enam tahun. Ketika usia itu mereka sudah boleh memahami erti 'larangan'. Pada waktu itu mereka sudah boleh diberitahu agar menghormati orang berpuasa dengan tidak makan di hadapan orang berpuasa.

Biarpun ia nampak satu perkara remeh, asas perlu dimulakan sejak awal lagi. Jika anak berusia dua atau tiga tahun sudah diajar membaca A,B,C mengapa pula soal-soal agama tidak boleh didedahkan seawal mungkin.

Masa terbaik bagi melatih kanak-kanak berpuasa dengan ertikata menahan diri daripada makan dan minum ialah usia enam tahun. Pada usia itu kanak-kanak sudah memasuki prasekolah dan mula hidup berdikari.

Namun, terdapat panduan yang sesuai diikuti agar latihan itu tidak mendatangkan keburukan kepada kanak-kanak dan ibu bapa sendiri. Sebenarnya dari segi fizikal, kanak-kanak agak lemah untuk menahan daripada lapar. Kanak-kanak perlu makan dalam tempoh selang masa lebih singkat berbanding orang dewasa.

Berpuasa setengah hari atau mengikut kemampuan mereka sesuai dijadikan latihan untuk mereka. Mula-mula berpuasa separuh hari saja dan kemudian diteruskan dalam tempoh lebih lama lagi.

Malah ada ibu bapa hanya melatih bersahur saja. Bangun bersahur pada awal pagi sebenarnya sudah sukar untuk dilakukan oleh kanak-kanak. Ketika itu biasanya mereka masih diulik mimpi. Ramai yang bersahur beberapa hari baru boleh mula berpuasa sekerat hari kemudiannya.

Bangun bersahur juga memberi gambaran kepada kanak-kanak tentang satu perubahan berlaku pada bulan Ramadan.Ibu bapa bangun makan awal pagi dan kepada tidak makan pada waktu tengah hari. Manakala pada waktu berbuka pula setelah mendengar mendengar azan Maghrib.

Segala keadaan ini perlu dijelaskan kepada kanak-kanak agar mereka mengerti mengenai amalan berpuasa. Setahun dari setahun mereka kemudian mudah memahami erti puasa dan mengapa mereka juga perlu berpuasa.

Pada peringkat awal belajar berpuasa, konsep motivasi puasa biasa digunakan untuk menggalakkan kanak-kanak berpuasa. Kaedah yang sering dilakukan ialah ‘upah’ berpuasa.

Kejayaan berpuasa sekerat hari atau bilangan hari berjaya berpuasa penuh dikira menentukan ganjaran dijanjikan. Ganjaran itu dalam bentuk wang atau menunaikan permintaan mereka, termasuk membeli pakaian lebih untuk menyambut hari raya.

Malah ramai ibu bapa menggalakkan berpuasa dengan hendak menyambut hari raya. Ugutan sesiapa tidak berpuasa tidak boleh memakai pakaian baru dan menyambut hari raya biasanya sudah menyebabkan kanak-kanak kecut perut takut terlepas peluang berhari raya.

Suasana berpuasa dilakukan berpuasa dan galakan diberikan oleh ibu bapa dan sokongan ahli keluarga, memberi kekuatan dan motivasi diri kepada kanak-kanak untuk berpuasa. Dalam keluarga mementingkan ibadat, kanak-kanak berusia tujuh tahun sudah ada mampu berpuasa penuh sebulan atau hanya beberapa hari tidak berpuasa. Ia hasil pendedahan awal dan dorongan daripada ibu bapa.

Semangat kanak-kanak itu sebenarnya telah lahir kepuasan menunaikan perintah Allah. Mereka merasakan dirinya bersalah jika tidak turut berpuasa. 

Kanak-kanak yang berjaya menunaikan puasa, tidak kira berapa bilangan hari, separuh hari atau sekadar menyatakan keinginan berpuasa biarpun hanya beberapa jam sekalipun, wajar diberikan pujian. Sikap mereka sepatutnya menyedarkan orang dewasa yang masih ramai tidak berpuasa.

No comments:

Post a Comment