Wednesday 30 May 2018

BERI UPAH ANAK BERPUASA

Setiap kanak-kanak itu tersendiri dan unik, usia kanak-kanak mula berpuasa juga berbeza-beza mengikut kemampuan dan kematangan masing-masing.

Lazimnya kanak-kanak belajar berpuasa separuh hari pada peringkat permulaan. Kemudian semakin dilanjutkan tempoh berpuasa sehingga penuh. Secara umum, kanak-kanak boleh dididik berpuasa pada usia empat tahun.

Anak yang mula belajar berpuasa perlu diberi sokongan moral seperti pujian dan kadangkala hadiah atau upah kerana ia sangat penting dalam membentuk amalan yang baik ini.

Upah adalah sejenis ‘reward’ tetapi ibu bapa harus sedar, ia hanya bersifat sementara dan bukan perkara utama dalam berpuasa.

Berpuasa adalah latihan kekuatan spiritual dan mental. Justeru, berpuasa membuka pintu kepada anak mengenal Allah. Memahami erti pahala, syurga dan dosa adalah sebahagian daripada persoalan yang ditimbulkan sewaktu berbincang dengan anak-anak mengenai puasa.

Walaupun perkara ini mungkin abstrak bagi kanak-kanak, dengan contoh yang sesuai, mereka akan mula memahaminya. Ketika berpuasa jangan abaikan sahur untuk anak. Ketika bersahur, galakkan anak mengambil makanan yang mengandungi karbohidrat dan berserat tinggi seperti oat, kurma dan roti. Selain itu lebihkan memakan buah-buahan dan sayur-sayuran bersama nasi. 

Kurangkan makanan bergula ketika bersahur kerana ia cepat dihadamkan dan diserap ke dalam darah. Ia menyebabkan anak lebih cepat lapar. Karbohidrat dan serat lebih lambat dihadamkan dan dapat menahan lapar lebih lama.

Selain itu, solat Maghrib dan tarawih bersama-sama selepas berbuka dapat mengeratkan hubungan keluarga dan memberi semangat kepada anak-anak berpuasa. 

Anak mestilah diberitahu syarat-syarat berpuasa yang tidak membenarkan seseorang makan dan minum pada siang hari. Di samping itu, tingkah laku anak-anak perlu diawasi agar tidak melakukan perkara yang tidak berfaedah seperti menghabiskan masa di pusat membeli belah atau pusat komputer dan internet.

Amalan berpuasa pada Ramadan juga membuka peluang melatih anak-anak menunaikan rukun Islam yang paling utama iaitu solat fardu.

Berikan mereka satu sasaran atau 'target of achievement' dalam berpuasa sesuai dengan usia dan kemampuan mereka. Mungkin bermula dengan puasa separuh hari, bertambah menjadi hingga waktu zohor dan seterusnya. 

Jika ibu bapa berjanji memberi hadiah atau upah jika berjaya berpuasa, ia perlu diberi segera. Menanti hingga Aidilfitri terlalu jauh bagi mereka. Berikan mereka pujian 'segera' sebaik mereka berjaya melakukan puasa biarpun sekadar separuh hari. 

Sesekali, beri anak upah atau hadiah seperti makanan kegemaran untuk menguatkan semangat anak berpuasa.

No comments:

Post a Comment