Tuesday 29 May 2018

URUSAN KEHIDUPAN BULAN RAMADAN

Ramadan dipanggil bulan ibadat. Konsep ibadat amat luas dan tidak hanya terhad kepada melakukan ibadat khusus saja. Sesiapa melakukan kebaikan dengan niat kerana Allah, maka dikira ibadat juga. 

Mereka yang melakukan tugas mencari rezeki, belajar dan menghubungkan silaturahim juga dikira melakukan ibadat atau sesuatu yang mendatangkan pahala. Mereka melipatgandakan usaha dalam semua urusan kehidupan untuk mendapat balasan pahala berganda. 

Sebab itu, pada bulan Ramadan ini kita perlu lebih berhati-hati dan mengambil berat soal niat. Bagi mereka yang bekerja, lakukan tugasan itu dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh agar apa yang dilakukan itu sempurna dari segi tanggungjawab, dan pada masa yang sama mendapat ganjaran berlipat ganda di akhirat kelak.

Dengan kata lain, pada bulan Ramadan bukan masa untuk lebih rehat dan bemalas-malas melakukan tugas dengan alasan berpuasa dan tenaga kurang. Sebaliknya, pada Ramadan inilah masa terbaik untuk kita melatih diri menjadi insan yang lebih baik dan komitmen melakukan apa-apa tugas yang perlu dilakukan. 

Melakukan kerja dengan berhemah juga tanda ciri-ciri takwa. Orang yang takwa akan menanggap tugas yang diamanahkan kepadanya adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan dengan sebaik-baiknya. Dia mahu gaji atau upah yang diterima adalah bersih daripada unsur-unsur curi tulang, malas atau tidak sempurna.

Ini kerana setiap apa yang dilakukan di dunia ini akan disoal di akhirat nanti. Mereka yang mencuri tulang ketika bekerja, sedangkan menerima gaji penuh, sebenarnya telah melibatkan diri dengan perkara-perkara yang menyebabkan gaji yang diterima itu bercampur unsur yang meragukan. 

Sebab itu, orang bertakwa akan sedaya mungkin melakukan tugas dengan terbaik. Memang kita tidak sunyi daripada kelemahan dan kekurangan. Anggaplah perkara itu sebagai kelemahan diri yang tidak disengajakan dan memohon keampunan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui tentang diri manusia yang banyak mempunyai kelemahan. 

No comments:

Post a Comment