Lelaki tua dilarang daripada mewarnakan
rambut dengan warna hitam kerana ditakuti akan menjadi satu penipuan dari segi
usia.
Perkara ini dapat difahami berdasarkan kepada satu hadis di mana pada ketika
Pembukaan atau Pembebasan Kota Makkah, Abu Bakar membawakan bapanya, Abu
Quhaafah berjumpa dengan Rasulullah SAW. Apabila melihat rambut Abu
Quhaafah yang putih, lalu baginda bersabda bermaksud: ”Tukarlah ini, tetapi
elakkan hitam.” (Fath al-Bari).
Sebaliknya, sekiranya seseorang itu tidak
terlalu tua, tidak salah menggunakan pewarna hitam. Dalam hal ini,
az-Zuhri berkata: ”Kami mewarnakan rambut dengan warna hitam apabila masih
kelihatan muda, tetapi meninggalkannya setelah muka berkedut dan tidak
bergigi.” (Dicatat oleh Abu Asim dalam kitab ’Mewarna Rambut’)
Oleh itu, bagi lelaki yang sudah tua dan
mempunyai uban hampir keseluruhan tidak boleh mewarnakan rambut dengan warna
hitam.
Untuk menggantikan warna hitam, warna yang sesuai ialah warna inai yang
kekuningan. Warna hitam ini hanya dibolehkan semasa peperangan bagi
menggambarkan bahawa tentera itu masih muda dan kuat.
Terdapat juga ulama yang menyatakan hukum
mewarna itu makruh berdasarkan kisah Ibnu Masaud yang masih muda dan mempunyai
uban yang bercampur dengan rambut hitam.
Beliau tidak dibenarkan kerana usianya
masih muda dan dengan perbuatan mewarna rambut untuk menutupi uban akan
menyebabkan rambutnya bercampur warna antara kuning dengan hitam.
Begitu juga ada ulama yang menyatakan sunat
iaitu berdasarkan hadis riwayat Bukhari yang bermaksud: “Orang-orang Yahudi dan
Nasrani tidak mewarna rambut, maka berbezalah dengan mereka.”
Orang-orang Yahudi dan Nasrani dikatakan
tidak mewarnakan rambut mereka kerana beranggapan sebagai tabarruj dan
perhiasan yang bertentangan dengan sifat warak serta soleh, yang tidak sesuai
dengan para rabbi, pendeta dan golongan agama mereka.
Oleh sebab itu, Rasulullah SAW melarang
daripada meniru cara dan amalan mereka ini agar orang Islam mempunyai ciri-ciri
penampilan dan amalan tersendiri.
Maka, untuk membezakan dengan golongan ini,
maka adalah sunat orang Islam mewarna rambut tetapi mengikut syarat yang
ditetapkan.
Di samping itu, ada ulama menyatakan ia
harus kerana ada di kalangan sahabat yang mewarna rambut dan sebaliknya.
Justeru itu, penggunaan inai dan katam (sejenis tumbuhan yang digunakan sebagai
bahan pewarna) digunakan untuk menutupi uban itu.
Penggunaan warna hitam untuk menutupi uban
pada lelaki tidak digalakkan untuk yang sudah tua kerana wujud unsur penipuan
umur.
Tetapi bagi yang berusia 30 tahun hingga 45 tahun yang berkahwin telah
mempunyai uban dibolehkan menggunakan warna hitam dengan syarat untuk menjaga
hubungan suami isteri.
Bagaimanapun setiap orang harus mengenali
dirinya sendiri. Jika mewarnakan rambut itu bertujuan memungkinkan dirinya
bersama-sama orang muda dalam gelanggang maksiat dan memuja nafsu, pada hal
usianya telah tiba untuk bertaubat, sebenarnya orang itu tidak sedar diri.
Uban pada hakikatnya adalah penanda bahawa usia sudah tua dan memerlukan
perubahan ke arah kebaikan kerana usia semakin tidak panjang.
No comments:
Post a Comment