Semua negara mengiystiharkan bahasa
kebangsaan masing-masing. Ia nyatakan secara jelas dalam Perlembagaan yang
membuktikan ia satu perkara penting dan diputuskan secara berpelembagaan atau
undang-undang.
Di Malaysia, Bahasa Melayu adalah bahasa
kebangsaan. Kedudukan ini diperakui melalui peruntukan Perkara 152 Perlembagaan
Persekutuan.
Perkara 152. Bahasa kebangsaan:
(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu
dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh
Parlimen: Dengan syarat bahawa—
(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau
dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada
mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan
(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh
menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk
memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain
di dalam Persekutuan.
Bahasa kebangsaan menjadi asas perpaduan
hubungan di antara rakyat. Hakikat itu diterima semua pihak. Semua rakyat perlu
mampu menguasai bahasa kebangsaan dengan fasih. Ini penting terutama apabila
melakukan urusan rasmi melibatkan individu berlainan kaum.
Biarpun, kerajaan tidak menghalang
pengajaran mana-mana bahasa di sekolah atau institusi pendidikan, kelonggaran
itu tidak seharusnya diambil kesempatan sehingga mengabaikan penguasaan bahasa
kebangsaan.
Malang sekali, pengoperasian sekolah
vernakular dilihat sebagai punca kaum tertentu gagal berkomunikasi dalam bahasa
kebangsaan.
Sepatutnya, sekolah vernakular, selain
mementingkan bahasa kaum, mesti memastikan pelajarnya fasih atau mampu
berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Mereka perlu melihat kepentingan nasional
dalam sistem pendidikan negara yang mana mata pelajaran bahasa kebangsaan perlu
diutamakan.
Penguasaan bahasa kebangsaan amat penting
kerana ia berperanan menyatukan seluruh rakyat yang berbilang kaum. Jika
masing-masing kaum mengguna bahasa ibunda, bagaimana bangsa lain untuk
memahaminya.
Kaum lain perlu menghargai peluang
diberikan kerajaan dalam membenarkan sekolah vernakular terus beroperasi dengan
cara menjayakan matlamat kerajaan untuk memastikan setiap rakyat mampu
berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan.
Untuk mengatasi masalah penguasaan bahasa
kebangsaan di kalangan bukan Melayu, Kementerian Pendidikan digesa mengambil
langkah proaktif dengan segera bagi mengatasi masalah kelemahan penguasaan
Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar bukan Melayu, khususnya di Sekolah Jenis
Kebangsaan Cina (SJKC).
Kementerian perlu mencari jalan bagi
mengatasi masalah itu. Bayangkan, walaupun sudah berada di peringkat sekolah
menengah, ada antara mereka tidak dapat menguasai dan memahami Bahasa Melayu.
Mahu tidak mahu sebagai rakyat Malaysia,
kita perlu menguasai Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan. Hal ini
bergantung kepada kemahuan dan kehendak untuk belajar bahasa kebangsaan dan
bukannya berkaitan ketidakmampuan kerana bahasa Melayu sukar untuk diamalkan.
Buktinya, banyak rakyat asing yang datang
ke Malaysia mampu bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu setelah beberapa
bulan atau tahun tinggal di Malaysia. Di mana bumi dipijak, di situ langit
dijunjung.
No comments:
Post a Comment