Tuesday 27 December 2022

ANAK TIDAK DIKAWAL JADI MANGSA LEMAS

 
Terdapat ibu bapa membiarkan anak bermain air hujan dengan alasan kawasan sekitar rumah mereka tidak ditegelami air atau kedalaman airnya hanya cetek yang tidak mungkin akan menyebabkan anak mereka lemas. 
 
Pendapat mereka itu memang tetap, tetapi lupa beberapa perkara lain. Pertamanya, kedalaman air di sesuatu kawasan tidak sama. Kawasan di hadapan rumah mungkin memang cetek yang tidak mendatangkan apa-apa bahaya. 
 
Tetapi, di tempat yang jauh sedikit daripada laman rumah mungkin ada kawasan yang kedalaman airnya lebih dalam seperti dalam parit, paya atau lubang yang digali. Hujan lebat menyebabkan kawasan tersebut cepat dipenuhi air dan aliran air yang deras. 
 
Di sesetengah kawasan, hujan lebat beberapa jam telah menyebabkan banjir kilat yang boleh mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak. 
 
Anak yang dibiarkan babas bermain mungkin akan pergi ke tempat berbahaya itu jika tidak dikawal atau dilarang. Mereka memang sukakan tempat airnya lebih dalam atau lebih banyak.
 
Kanak-kanak ke tempat itu mungkin bukan untuk mandi atau bermain, tetapi hanya sekadar tengok-tengok dan seronoh melihat sesuatu yang berlainan daripada masa biasa. 
 
Tidak mandi manda bukan jaminan tidak menjadi mangsa lemas. Banyak kes kanak-kanak mati lemas terjatuh ke dalam parit, longkang atau tali air. Kehadiran mereka sekadar mengikut abang atau kakak.
 
Dengan kata lain, kemalangan seperti itu dapat dielakkan daripada berlaku sekiranya ibu bapa melarang anak-anak mereka pergi ke tempat itu tanpa kawalan. Perlu ditekankan bahawa larangan bukan setakat jangan main air, tetapi jangan keluar rumah. 
 
Anak akan memahami atau mematuhi larangan itu jika dijelaskan kepada mereka bahaya akibat perbuatan itu. Penjelasan itu menjadi peringatan dan pengajaran untuk mereka pada masa akan datang.
 
Larangan bermain air hujan bukan sekadar kepada kanak-kanak tidak pandai berenang sahaja. Kanak-kanak yang pandai berenang juga mesti dilarang daripada bermain air hujan. Pandai berenang bukan bermakna tidak mungkin lemas. Banyak mangsa mati lemas adalah mereka yang pandai berenang. 
 
Kemalangan ini berlaku disebabkan kurang berhati-hati apabila terlalu bergembira bermain air. Tambahan, mereka terlalu yakin dengan kebolehan berenang. Mereka melakukan aksi terjun dari tempat tinggi atau aksi berbahaya yang kononnya memberi lebih kepuasan.
 
Mereka lupa kemungkinan bahaya yang boleh berlaku pada waktu itu. Walaupun pandai berenang, adalah sukar untuk menyelamatkan diri jika keadaan air terlalu deras atau berlaku sesuatu yang tidak diduga seperti kejang otot, gagal mengawal diri, digigit binatang berbisa yang biasa berlaku pada musim hujan dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment