Tuesday 11 June 2024

JANGAN BELI KALAU HARGA DURIAN MAHAL

 
Durian dipanggil raja buah. Sesuai dengan gelaran, harga durian menjadi buah ekslusif dan pilihan golongan berada. Harga durian kampung yang pada suatu ketika dahulu dijual murah apabila musim gugur memuncak, kini masih lagi dianggap mahal. Tidak ada lagi peluang untuk mendapat harga durian murah.  

Mahal atau murah harga durian bukan disebabkan ekonomi negara. Harga durian diimbangi atau ditentukan oleh penawaran dan permintaan. Jika penawaran tinggi dan permintaan rendah, maka harganya akan jadi rendah. Sebaliknya, jika penawaran rendah dan permintaan tinggi, maka harga di pasaran akan jadi tinggi.

Harga durian jadi mahal disebabkan pembeli sanggap membeli dengan harga mahal. Malah menjadi kebanggan pula dapat makan durian mahal. Mereka akan muat naik gambar sedang makan durian dan dinyatakan nama jenis durian itu.

Biarpun tidak dinyatakan harga yang dibayar untuk membeli durian, semua orang maklum mengenai harga durian popular seperti musang king atau raja kunyit. Hanya orang kaya sahaja boleh makan jenis durian musang king. Jadi, sesiapa yang muat turun gambar makan durian musang king, itu boleh diangggap golongan kaya.

Kita tidak perlu bising dan merungut jika harga durian mahal. Jika rasa tidak sanggup atau tidak bersedia untuk membeli harga yang ditetapkan, jangan membelinya. Anggaplah bukan rezeki kita boleh makan buah durian.

Buah durian bukan makanan wajib. Jika tidak makan durian tidak akan ada sesuatu perkara buruk akan berlaku kepada kesihatan. Durian bukan barang keperluan wajib yang mesti dimakan. Jadi, tidak perlu bimbang atau terbeban perasaan disebabkan tidak mampu membeli durian.

Ketika kita tidak makan durian, sebenarnya banyak individu lain yang senasib dengan kita. Pertama, orang tidak makan durian kerana tidak mampu membeli atau membayar harga yang mahal.

Kedua, banyak orang tidak makan durian kerana tidak tahan bau dan rasa yang dikatakan tidak menyenangkan. Bau durian yang kuat menyebabkan buah itu tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam bilik hotel. Malah, banyak individu tidak sanggup membawa durian di dalam kereta kerana bau yang kuat itu boleh menyebabkan orang berada di dalam kereta tersebut menjadi pening dan muntah.

Dan ketiga adalah kerana masalah penyakit. Makan durian memberi kesan buruk kepada mereka mengidap kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang. Beringatlah jika ingin makan durian. Jangan makan terlalu banyak yang boleh mengundang bahaya kepada kesihatan.

No comments:

Post a Comment