Sunday, 3 June 2018

BARAH JUDI ROSAKKAN KEHIDUPAN MANUSIA

Dalam semua tamadun manusia, tidak ada pihak menyatakan perbuatan judi mendatangkan kebaikan. Malah, semua agama dan peradaban menyatakan mengenai keburukan kegiatan judi. Judi menjadi barah dalam kesejahteraan masyarakat.

Berjudi perbuatan yang dilarang dalam agama. Pengharaman judi jelas dinyatakan dalam al-Quran surah al-Maidah ayat 90 bermaksud: “Wahai orang beriman! Sesungguhnya arak, judi, penyembahan berhala dan bertilik nasib adalah najis (haram), dan ia dari perbuatan syaitan.”

Wang hasil perjudian adalah haram dan tiada keberkatan. Sesiapa memiliki wang judi tidak kekal lama. Dalam masyarakat kita menyebutnya ‘wang panas’ yang tidak dapat disimpan lama. Orang menang judi bersikap boros, menghadapi malapetaka dan kesusahan yang menyebabkan wang judi itu habis dibelanjakan. 

Malah ada menjadi gila atau hilang ingatan setelah menang besar dalam perjudian. Semua itu adalah pembalasan Allah kepada pejudi di dunia ini lagi. Tambah siksa lagi balasan di akhirat nanti.

Terdapat ramai yang menganggap berjudi sekadar suka-suka sahaja. Pertaruhan yang dibuat sekadar beberapa ringgit sahaja. Perjudian dikendalikan syarikat besar hanya menetapkan pertaruhan kecil, sedangkan hadiahnya besar. Sebab itu mereka mengatakan berjudi secara sedemikian bukan satu perbuatan boleh mendatangkan mudarat.   

Sesungguhnya anggapan tersebut tidak boleh diterima untuk menghalalkan apa yang telah diharamkan. Kecil atau besar pertaruhan bukan penentu kepada halal haram. Sesuatu yang telah diharamkan tetap tidak berubah hukumnya hanya kerana satu anggapan dangkal itu.

Biarpun wang pertaruhan relatif kecil, amalan itu secara keseluruhnnya menggalak lagi aktiviti perjudian. Semakin ramai yang terlibat judi biarpun setiap orang membuat pertaruhan kecil, ia akan mengembangkan pertumbuhan aktiviti judi. Justeru, aktiviti perjudian semakin sukar untuk dihapuskan.

Persoalannya mengapakah harus ‘suka-suka’ kepada yang nyata diharamkan?   Adalah lebih baik wang tersebut didermakan kepada yang memerlukan kerana ia pasti disukai oleh Allah dan pihak yang menerima derma itu. 

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 261 bermaksud: “Perumpamaan orang yang menggunakan hartanya kepada jalan Allah, bagaikan biji yang tumbuh menjadi tujuh tangkai. Pada setiap tangkai itu berbuah seratus biji dan Allah melipatgandakan (pahala) bagi setiap yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Mengetahui.”

Sekiranya umat Islam di negara kita menghentikan tabiat judi (yang dianggap suka-suka dan kecil-kecilan itu) dan mendermakan wang yang dianggap reletif kecil itu kepada tabung kemajuan Islam, sudah pasti jumlahnya berjuta-juta sebulan. 

Ini menunjukkan sebenarnya jumlah tersebut besar dan merugikan umat Islam keseluruhannya kerana diberikan kepada syarikat perjudian yang mengaut keuntungan besar.

No comments:

Post a Comment