Sunday, 3 June 2018

Semua bentuk judi haram

Maksud judi dari segi bahasa ialah permainan dengan memakai wang dan lain-lain sebagai taruhan bertujuan mendapat imbuhan dengan keuntungan yang tinggi. 
 
Amalan berjudi mempertaruhkan nilaian kecil tetapi mengharapkan keuntungan besar dengan mudah. Ia lahir daripada perasaan tamak untuk keuntungan diri sendiri dan tidak kisah kerugian pihak lain. Dalam perjudian, kawan sanggup menyebabkan kerugian kawan sendiri.  

Clifford Gertza, seorang pengkaji normatif sosial manusia dari Barat berpendapat, penerimaan terhadap sebarang bentuk judi adalah ekspresi simbolik yang mencerminkan betapa minda manusia dikuasai kuasa gelap (nafsu).

Pakar sosialogi dan psikologi berpendapat antara penyakit sosial yang telah banyak merosakkan kehidupan manusia ialah perjudian.

Bentuk biasa pemain judi melibatkan daun terup, dadu, lumba kuda, cabutan nombor dan teka nombor. Terdapat keputusan dijadikan asas pertaruhan seperti pertandingan bola sepak, pilihan raya dan sebagainya.

Selain itu, ada aktiviti yang dianggap judi terselindung. Biasanya keadaan ini berlaku dalam pertandingan tertentu. Peserta perlu membayar yuran sejumlah wang penyertaan. Wang tersebut dikumpul dan dijadikan hadiah untuk pertandingan. Ada juga cabutan bertuah untuk setiap resit atau borang penyertaan.

Kesatuan Fikah Sedunia dalam sidangnya ke 14 pada 11 hingga 16 Jan 2003 telah memutuskan bahawa semua permainan dan pertandingan yang hadiahnya diambil dari hasil kumpulan wang penyertaan peserta, hukumnya adalah haram hadiah tersebut.  Ini kerana ia mengandungi unsur judi dan gharar atau ketidaktentuan.

Apa pun bentuk perjudian, yang tidak berlesen maupun berlesen, pertaruhan kecil ataupun besar, tidak kira apapun bentuk, semuanya mendatangkan keburukan. Masyarakat perlu dididik agar membenci sebarang bentuk perjudian. Negara bakal diancam masalah besar jika lebih ramai rakyat menjadi ketagih judi. 

No comments:

Post a Comment