Sunday, 11 February 2018

AKTIVITI DOULA PERLU DIPANTAU


Perkataan ‘doula’ berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud “hamba wanita”. Golongan ini telah pun wujud berabad lamanya dan dikatakan mampu memberikan pengalaman positif kepada para ibu yang hamil dan bakal bersalin.

Kehadiran doula diharapkan boleh membantu ibu bersalin dengan tenang. Namun, dalam banyak situasi, peranan doula di Malaysia ini telah melampaui batas sebagai peneman.

Mereka seolah-oleh mengambil alih peranan menjadi pakar perbidanan, doktor, jururawat dan bidan yang memberi nasihat dan menguruskan proses kelahiran.

Khidmat nasihat yang mereka berikan, sama ada berada di sisi pesakit atau melalui aplikasi WhatsApp, telah membahayakan kesihatan dan nyawa ibu dan juga anak, terutamanya dalam kes-kes yang berisiko tinggi.

Doula juga menganjurkan kelahiran di rumah tanpa kehadiran ahli yang terlatih. Ini adalah satu kaedah proses kelahiran yang tidak selamat. Sudah banyak kes yang berakhir dengan kematian dan komplikasi teruk semasa proses bersalin tidak selamat yang dianjurkan oleh mereka ini.

Dengan apa sahaja nama yang mereka berikan bagi meng’halal’kan kaedah tersebut, sebenarnya mereka menafikan kaedah yang sedia ada di premis kesihatan bertauliah sama ada kerajaan ataupun swasta.

Kajian jelas menunjukkan kelahiran di rumah atau tidak disambut oleh anggota yang berkemahiran, mempunyai risiko tinggi kematian bayi.

Pihak berwajib perlu mengambil tindakan tegas kepada pihak-pihak tertentu yang dengan senghaja menghasut ibubapa untuk bersalin secara lotus dan pengamalan tertentu tanpa pengawasan rapi daripada doktor pakar perbidanan bertauliah.

Antara amalan yang tidak patut diamalkan oleh mereka adalah seperti melambatkan pemotongan tali pusat sehingga berjam-jam lamanya, tidak mengeluarkan uri dalam tempoh masa yang segera dan tidak memberi imunisasi kepada bayi yang baru dilahirkan.

Kementerian Kesihatan Malaysia disarankan agar mengambil inisiatif mempertingkatkan pendekatan dan aktiviti pendidikan kesihatan berterusan kepada masyarakat untuk memastikan tahap tinggi kesihatan ibu dan anak di Malaysia dapat terus dipertingkatkan.

No comments:

Post a Comment