Islam menetapkan peraturan dalam soal
berpakaian. Tuntutan berpakaian untuk tujuan menutup aurat adalah satu
kemestian sama ada lelaki atau perempuan. Cara berpakaian adalah menentukan
tahap keimanan.
Namun begitu, Islam tidak menetapkan fesyen
pakaian yang mesti dipakai oleh setiap orang Islam. Islam membenarkan apapun
fesyen pakaian asalkan menepati syarat menutup aurat.
Sebenarnya, setiap bangsa memiliki fesyen
pakaian yang menepati cita rasa setempat. Umat Islam tentunya tidak dapat lari
daripada hambatan fesyen pakaian yang sentiasa berubah. Ia mempunyai hubung
kait dengan cuaca, aktiviti seharian dan cara hidup.
Biarpun pakaian dihasilkan dengan
kebijaksanaan dan kemahuan manusia, hakikatnya pakaian ‘diturunkan’ oleh Allah
kepada manusia. Kewajipan berkaitan berpakaian datangnya daripada Allah yang
mengarahkan supaya lelaki dan perempuan beriman menutup aurat.
Allah yang melahirkan keinginan dalam diri
manusia inginkan kepada pakaian. Keperluan hidup pertama yang dicipta oleh Adam
dan Hawa ketika diturunkan di dunia ini ialah pakaian, biarpun sekadar
diperbuat daripada kulit kayu, daun, dan kulit binatang.
Mendedahkan aurat adalah perbuatan memalukan.
Sesiapa yang tidak malu mendedahkan aurat boleh diumpamakan seperti haiwan yang
sememangnya tidak ada perasaan untuk berpakaian.
Batasan aurat dalam Islam amat ketat,
terutama bagi perempuan. Bagi golongan perempuan, aurat adalah seluruh anggota
badan, kecuali bahagian muka dan kedua tapak tangan.
Peraturan ketat terhadap perempuan berkaitan
pakaian bukan bertujuan menyusahkan atau menyekat kebebasan kaum perempuan. Islam
tidak mengamalkan diskriminasi antara lelaki dan perempuan, melainkan keperluan
tabie yang membezakan antara kedua jantina ini.
Sebenarnya, perhatian ketat mengenai fesyen
pakaian perempuan itu bertujuan untuk menjauhkan keadaan fitnah dan keburukan
sama ada datangnya daripada golongan lelaki atau perempuan.
Islam meletakkan perempuan pada kedudukan
terbaik dan menyediakan satu rangka cara hidup yang paling lengkap dan
sempurna. Peraturan ketat adalah untuk melindungi maruah dan keselamatan
perempuan yang sering terdedah kepada gangguan lelaki tidak sopan.
Hal ini jauh berbeza dengan gerakan menuntut
hak kesamarataan yang dianjurkan perempuan Barat yang lebih mendatangkan
kemudaratan kepada wanita. Perempuan Barat ingin menentukan sendiri apa yang
ingin dipakai dan dilakukan.
Fesyen mendedahkan aurat yang digilai banyak
perempuan sekarang adalah akibat terpengaruh dengan hasil fesyen bukan Islam. Di
Barat para pereka fesyen telah berjaya mengeksplotasi badan perempuan sebagai
objek dagangan.
Fesyen mendedah aurat paling laris di
pasaran. Pengaruh inilah turut ditiru di kalangan perempuan Islam. Sepatutnya
perempuan Islam perlu lebih sensitif dengan perkembangan yang membawa keburukan
itu. Apa yang datang dari Barat tidak semuanya baik.
Fesyen mendedah aurat tidak mematuhi etika
berpakaian kerana tidak ‘lengkap’.
Mendedahkan aurat samalah tidak berpakaian. Aurat adalah sesuatu yang
perlu dirahsiakan kepada pandangan umum.
Sekarang banyak perempuan yang menutup aurat
separuh-separuh kerana mengikut fesyen. Contohnya, banyak perempuan kini
bertudung, tetapi fesyen tudungnya menampakkan sebahagian rambut, bahagian dada
dan leher yang terdedah.
Tidak kurang juga yang bertudung, tetapi
memakai baju lengan pendek, ketat, atau jarang. Ada pula yang memakai baju
kurung longgar, lengan panjang dan kain tebal, tetapi tidak pula bertudung.
Penerapan fesyen perempuan yang sempurna
mengikut kehendak Islam perlu diusahakan di kalangan masyarakat kita. Kita
memerlukan lebih banyak pereka fesyen Islam dan kedai-kedai pakaian yang
menjual pakaian memenuhi keperluan perempuan Islam.
Majalah dan rancangan televisyen yang
memperkenalkan busana wanita Islam juga perlu ditambah. Ini memudahkan
perempuan Islam membuat pilihan fesyen yang menepati kehendak Islam yang sesuai
untuk mereka.
No comments:
Post a Comment