KUALA
LUMPUR: Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa penganut Kristian boleh menggunakan
empat perkataan bahasa Arab termasuk kalimah Allah dalam penerbitan mereka
dengan syarat di luar kulit muka depan buku itu ditulis perkataan 'Untuk agama
Kristian.'
Dalam
penghakiman setebal 96 muka surat, Hakim Datuk Nor Bee Ariffin, berkata
keputusannya yang menyaksikan penganut Kristian di seluruh negara boleh
menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan agama
mereka bagi tujuan pendidikan adalah berdasarkan polisi kerajaan pada Mei 1986.
Beliau
berkata, Kabinet telah mengeluarkan keputusan berkaitan polisi itu pada Mei
1986 berdasarkan satu nota oleh Tun Abdul Ghafar Baba, yang juga Timbalan
Perdana Menteri ketika itu, kepada Kementerian Dalam Negeri.
"Bahasa
yang jelas dan mudah dalam nota TPM itu, pada pandangan saya, membawa maksud
bahawa 12 perkataan boleh digunakan tanpa syarat manakala empat lagi (Allah,
Baitullah, Kaabah dan solat) tidak boleh digunakan namun ia masih boleh
digunakan dengan syarat tujuan penggunaannya dinyatakan di luar kulit muka
depan penerbitan seperti ditulis perkataan 'Untuk agama Kristian',"
katanya.
Hakim
itu berkata, bagaimanapun pada 5 Disember 1986, satu arahan telah dikeluarkan
oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada semua penerbitan agama Kristian
bahawa penggunaan keempat-empat perkataan adalah dilarang sama sekali.
"Antara
sebab larangan empat perkataan tersebut adalah untuk mengelakkan berlakunya
sebarang salah faham di antara penganut Islam dengan Kristian yang boleh
mengancam keselamatan dan ketenteraman awam serta menimbulkan sensitiviti
keagamaan di kalangan rakyat Malaysia," katanya.
Nor
Bee berkata, berdasarkan arahan itulah Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar
yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu mengesahkan satu afidavit bagi
menyokong hujah kementerian itu bagi melarang wanita suku kaum Melanau dari
Sarawak yang beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill menggunakan kalimah
Allah.
"Kementeriannya,
yang ditugaskan mengawal selia percetakan dan penerbitan, memikul tanggungjawab
melaksana dan menguat kuasa undang-undang serta polisi kerajaan mengikut Akta
Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
"Pada
pandangan saya, berdasarkan surat Perdana Menteri ketika itu (Tun Dr Mahathir
Mohamad) dan nota Allahyarham Tun Ghafar Baba, keputusan polisi Kabinet tidak
menyatakan larangan sepenuhnya berhubung penggunaan keempat-empat perkataan.
"Ia
berlaku disebabkan arahan yang bercanggah. Arahan bercanggah ini pada pendapat
saya, hanyalah satu arahan kendiri yang dikeluarkan oleh Bahagian Kawalan
Penerbitan kementerian terbabit," katanya.
Hakim
itu juga menegaskan bahawa jika keputusan polisi Kabinet dilaksanakan dengan
betul, wajar dan sah berdasarkan undang-undang yang sesuai di bawah
tanggungjawab KDN, prosiding semakan kehakiman ini mungkin tidak akan berlaku.
Pada
10 Mac lalu, Nor Bee memutuskan bahawa penganut Kristian di seluruh negara
boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan
keagamaan mereka bagi tujuan pendidikan selepas membenarkan permohonan semakan
kehakiman Jill Ireland.
Isnin
lalu, kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan. –
BERNAMA
No comments:
Post a Comment