Friday, 21 May 2021

MAKSUD MELAKUKAN JENAYAH AKIDAH

Jenayah aqidah adalah kesalahan berkaitan kepercayaan, keyakinan, dan keimanan. Perkataan aqidah akan merujuk kepada perihal keimanan, kepercayaan serta keyakinan. 

Ini juga bermakna, bahawa perkataan aqidah adalah sinonim dengan perkataan keimanan atau iman.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal saleh, mereka diberi petunjuk oleh Tuhan mereka karena keimanannya di bawah mereka mengalir sungai-sungai di dalam syurga yang penuh kenikmatan. (Surah Yunus, ayat  9).

Aqidah dan keimanan itu merupakan dua istilah yang mempunyai konotasi makna yang sama dan dengan itu kedua-duanya boleh ditukar gantikan penggunaannya.

Dalam Kamus Dewan, Edisi Ketiga, jenayah bermaksud perbuatan kejahatan (seperti mencuri, merompak, membunuh dan lain-lain lagi) yang salah di sisi undang-undang, perbuatan salah di sisi undang-undang, perbuatan criminal.

Aqidah pula bermaksud  kepercayaan, keyakinan.

Jika kita lihat pengertian aqidah menurut pandangan Islam, dari segi bahasa merupakan satu perkataan yang berasal dari bahasa Arab. Makna literalnya merujuk kepada “ikatan kemas” atau ‘simpulan mati” yang melambangkan adanya unsur-unsur makna macam kekuatan dan keyakinan.

Dari segi istilah, apabila aqidah diangkat menjadi istilah khusus atau teknikal, maka secara umumnya merujuk kepada kepercayaan dan keyakinan yang cukup pasti terhadap sesuatu tanpa ada sebarang rasa syak serta keraguan.

Oleh itu, dalam perspektif Islam, istilah aqidah atau iman dalam konteks teknikal ini tidak cukup untuk menjadi boleh diterima sekiranya ia hanya terungkap dalam pengisytiharan luaran semata-mata. 

Dalam kehidupan pada hari ini cukup ramai sekali golongan yang hanya mengisytiharkan secara zahir bahawa mereka beriman sedangkan di hati mereka sedikit pun tidak wujud walau sekelumit iman tersebut.

Firman Allah SWT:  “Di antara manusia ada yang mengatakan: "Kami beriman kepada Allah dan hari kemudian," pada hal mereka itu Sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman. Padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sedar." (Surah al-Baqarah, ayat 8-9).

Istilah aqidah atau iman yang tulen itu, dalam pandangan Islam tidak juga hanya merujuk kepada penunaian serta pelaksanaan tugas-tugas atau syiar tertentu seperti selayaknya dilaksanakan oleh kalangan orang yang memiliki aqidah. 

Terdapat ramai di kalangan dajal yang hanya bermuka-muka dan menunjuk-nunjuk melakukan perkara kebaikan, sedangkan hatinya penuh dengan kedurjanaan dan tidak ada keikhlasan terhadap Allah SWT

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. dan apabila mereka berdiri untuk solat mereka berdiri dengan malas. mereka bermaksud riya di hadapan manusia. dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali. (Surah an-Nisa, ayat 142).

Allah SWT telah mengangkat martabat manusia lebih tinggi berbanding dengan makhluk ciptaan Allah yang lain melalui pengurniaan akal fikiran. Keberadaan akal membolehkan manusia berfikir mencari kebenaran hidup.

Malangya, masih  ramai manusia tidak menggunakan akal fikiran kurniaan Allah SWT yang menyebabkan pegangan aqidah terpesong.

Oleh sebab itu, umat Islam di Malaysia sering dikejutkan dengan berita-berita yang menjurus kepada keruntuhan aqidah seperti isu ajaran sesat dan keprcayaan kurafat.  

Situasi ini tidak wajar dipandang mudah, sebaliknya satu masalah yang cukup serius dan amat membimbangkan umat Islam seandainya tidak dibendung dan diatasi dengan segera oleh pihak yang bertanggungjawab. 

No comments:

Post a Comment