Thursday 14 January 2021

IKAN SEPAT RONGGENG JENIS LASAK

Ikan sepat ronggeng  (Trichopodus trichopterus) adalah salah satu spesis ikan sepat (Trichogaster spp), sejenis ikan air tawar dari keluarga  Osphronomidae yang terdapat di Malaysia dan beberapa negara tropika lain di seluruh dunia.

Ikan sepat ronggeng juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti ikan sepat padi dan ikan sepat rawa.

Ikan sepat ronggeng paling banyak didapati di Malaysia berbanding tiga lagi sepesis ikan sepat. Tiga lagi spesis ikan sepat ialah ikan siam (Trichogaster pectoralis), sepat mutiara  (Trogaster leerii) dan sepat kecil (Trichogaster microlepis).

Ikan sepat ronggeng tidak mempunyai banyak perbeza dengan spesis-spesis lain kecuali perbezaan dalam segi warna badan dan sedikit perbezaan dari segi bentuk. Daripada segi lain hampir tidak ada perbezaan, terutama sifat dan habitatnya.

Struktur dalaman organ ikan sepat seperti juga jenis ikan haruan dan ikan puyu yang mempunyai labyrinth di ruang insangnya yang membolehkan ikan ini hidup walaupun di kawasan air yang kurang oksigen.

Sebab itu, ikan sepat boleh hidup di persekitaran agak keruh dan ‘mencabar’ seperti di sawah yang dilakukan kerja pembajakan tanah, penggunaan racun dan air sawah dikeringkan pada setiap musim.

Dalam habitat semula jadi selalunya ikan sepat akan makan lumut, tumbuhan air dan anak-anak ikan kecil yang boleh dimasukkan ke dalam mulutnya yang kecil.

Ikan betina akan bertelur di bawah buih-buih putih di permukaan air yang tenang di mana ikan sepat jantan akan menjaga telur-telur tersebut sambil mempersenyawakannya. Sepat padi bertelur antara 700 hingga 800 biji telur. 

Setelah menetas lazimnya anak ikan sepat akan diasuh oleh sepat jantan sehingga anak ikan tersebut mampu mencari makan sendiri. Berat purata ikan sepat padi dewasa sekitar 50–100 gram.

Ikan ini hidup secara berkumpulan dan akan timbul di permukaan air untuk menyedut udara dan jika lokasi ikan sepat sangat padat maka akan banyak kelihatan ikan dari permukaan air.

Cara terbaik membezakan antara ikan jantan dan betina spat padi adalah melalui ridip ekor. Pada ikan jantan, ridip ekor panjang tajam and ridip dubur runcing, sementara ikan betina pended dan dompok. Bagaimanapun, sesetengah ikan betina memiliki ridip belakang sepanjang ikan jantan. 

Walau pun ikan sepat tahan di lubuk yang kurang oksigen akan tetapi ikan ini mudah terkesan serta cepat mati apabila berada di luar air. 

2 comments: