Lazimnya kanak-kanak
belajar berpuasa separuh hari pada peringkat permulaan. Kemudian semakin
dilanjutkan tempoh berpuasa sehingga penuh. Secara umum, kanak-kanak boleh
dididik berpuasa pada usia empat tahun.
Anak yang mula belajar
berpuasa perlu diberi sokongan moral seperti pujian dan kadangkala hadiah atau
upah kerana ia sangat penting dalam membentuk amalan yang baik ini.
Upah adalah sejenis
‘reward’ tetapi ibu bapa harus sedar, ia hanya bersifat sementara dan bukan
perkara utama dalam berpuasa.
Berpuasa adalah latihan
kekuatan spiritual dan mental. Justeru, berpuasa membuka pintu kepada anak
mengenal Allah. Memahami erti pahala, syurga dan dosa adalah sebahagian
daripada persoalan yang ditimbulkan sewaktu berbincang dengan anak-anak
mengenai puasa.
Walaupun perkara ini
mungkin abstrak bagi kanak-kanak, dengan contoh yang sesuai, mereka akan mula
memahaminya. Ketika berpuasa jangan abaikan sahur untuk anak. Ketika bersahur,
galakkan anak mengambil makanan yang mengandungi karbohidrat dan berserat
tinggi seperti oat, kurma dan roti. Selain itu lebihkan memakan buah-buahan dan
sayur-sayuran bersama nasi.
Kurangkan makanan
bergula ketika bersahur kerana ia cepat dihadamkan dan diserap ke dalam darah.
Ia menyebabkan anak lebih cepat lapar. Karbohidrat dan serat lebih lambat dihadamkan
dan dapat menahan lapar lebih lama.
Selain itu, solat
Maghrib dan tarawih bersama-sama selepas berbuka dapat mengeratkan hubungan
keluarga dan memberi semangat kepada anak-anak berpuasa.
Anak mestilah diberitahu
syarat-syarat berpuasa yang tidak membenarkan seseorang makan dan minum pada
siang hari. Di samping itu, tingkah laku anak-anak perlu diawasi agar tidak
melakukan perkara yang tidak berfaedah seperti menghabiskan masa di pusat
membeli belah atau pusat komputer dan internet.
Amalan berpuasa pada
Ramadan juga membuka peluang melatih anak-anak menunaikan rukun Islam yang
paling utama iaitu solat fardu.
Berikan mereka satu
sasaran atau 'target of achievement' dalam berpuasa sesuai dengan usia dan
kemampuan mereka. Mungkin bermula dengan puasa separuh hari, bertambah menjadi
hingga waktu zohor dan seterusnya.
Jika ibu bapa berjanji
memberi hadiah atau upah jika berjaya berpuasa, ia perlu diberi segera. Menanti
hingga Aidilfitri terlalu jauh bagi mereka. Berikan mereka pujian 'segera' sebaik
mereka berjaya melakukan puasa biarpun sekadar separuh hari.
Sesekali, beri anak upah
atau hadiah seperti makanan kegemaran untuk menguatkan semangat anak berpuasa.
No comments:
Post a Comment