Thursday 7 June 2018

ULAMA NASIHAT AGAR TIDAK TINGGALKAN NYANYIAN

Syeikh Mohammad al-Ghazali (1917-1996), ulama terkenal Mesir dianggap tokoh yang berani membicara sesuatu hukum biarpun mendapat tentangan ulama ultrakonservatif.

Seorang penyanyi terkenal Mesir, Yasmin al-Khayyam yang merupakan anak kepada qari Syeikh Mahmoud Khalil el-Houssari yang sangat tersohor di Malaysia dan seluruh negara Islam, pernah menceritakan bagaimana Syeikh al-Ghazali bertindak dengan dirinya yang tidak bertudung.

Yasmin mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Syeikh al-Ghazali kerana Yasmin berkahwin dengan ahli keluarga Syeikh al-Ghazali. Selain itu Yasmin juga berguru dengan Syeikh al-Ghazali dalam hal-hal agama. 

Ketika Yasmin menyatakan hasrat memakai tudung, Syeikh al-Ghazali mengalu-alukannya, tetapi memberitahu ia mesti dilakukan atas keyakinan sendiri.

Bagaimanapun, Syeikh al-Ghazali menasihati Yasmin supaya tidak meninggalkan bidang nyanyian kerana beliau mahu penyanyi yang komited dengan ajaran agama seperti Yasmin menjadi model kepada penyanyi-penyanyi lain dan juga orang ramai.

Malangnya Yasmin tidak mendengar nasihat Syeikh al-Ghazali itu dan beliau meninggalkan juga bidang seni. Kali pertama bertudung, Yasmin hanya memakai songkok atau kopiah yang menutupi sebahagian besar rambut.

Syeikh al-Ghazali yang melihat perubahan Yasmin itu mengulas bahawa beliau baru dalam peringkat awal. Lama selepas itu Yasmin muncul dengan tudung sebenar tapi tidak menutup seluruh rambutnya, Syeikh al-Ghazali mengulas bahawa beliau telah maju setapak lagi ke depan.

Kemudian Yasmin muncul buat kali ketiga dengan pakaian tudung sepenuhnya tetapi bergaya dan tidak hilang imejnya sebagai penyanyi dan penghibur, Syeikh al-Ghazali mengulas bahawa kali ini baru penyanyi yang menjadi anak didiknya itu berpakaian tepat dengan peraturan memakai hijab.

Cerita Yasmin ini terkandung dalam buku al-Fannanat al-Muhtajibat (Seniwati-seniwati Berhijab). 

No comments:

Post a Comment