Muzakarah Jawatankuasa Fatwa
Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Ke-106 yang bersidang pada 21-22
Oktober 2014 bersetuju memutuskan bahawa Islam mengharuskan pemerintah atau
ulul amri mengutip cukai seperti GST selagi terdapat keperluan dan maslahah
untuk negara dan rakyat.
Berdasarkan dapatan yang
dikemukakan, apabila kerajaan mengutip cukai daripada rakyat, sememangnya akan
timbul kemudharatan khusus, iaitu harta yang dimiliki rakyat berkurangan.
Namun, jika cukai tidak dikutip
banyak maslahah umum tidak dapat dilaksanakan oleh kerajaan. Perkara ini
berdasarkan Qaedah Fiqhiyyah 'ditanggung kemudharatan khusus untuk mengelakkan
berlaku kemudharatan umum.'
Justeru, kerajaan dibenarkan
mengutip cukai untuk memenuhi maslahah umum. Bagaimanapun pelaksanaan berkenaan
perlu menepati syarak berpandukan parameter berikut iaitu: kerajaan komited
melaksanakan syariat Islam. kerajaan memerlukan sumber kewangan.
Cukai yang dikutip hanya untuk
memenuhi maslahah dharuriyyat dan hajiyat. Bebanan cukai dikutip secara adil.
Cukai dibelanja untuk maslahah ummah bukan untuk maksiat. Agihan cukai
bertepatan dengan ijtihad ulama semasa dan setempat.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa
Kebangsaan seterusnya menegaskan: GST boleh digunakan untuk pembangunan
infrastruktur kesihatan, pendidikan dan kemudahan awam bagi meningkatkan taraf
hidup serta menjamin kesejahteraan rakyat.
Ia juga adalah kaedah lebih baik
dan cekap dalam memberi dana kepada hasil cukai negara yang akan disalurkan
kepada projek pembangunan negara.
Sebahagian ahli ekonomi
merumuskan GST mampu membawa kestabilan fiskal dalam kewangan negara dan
membawa keutuhan kepada pendapatan kerajaan selain dapat memperbaiki kutipan
hasil cukai dari sebahagian besar golongan yang terlepas atau sengaja
melepaskan diri daripada membayar cukai.
Inilah faktor penting yang
dianjurkan Islam bagi mewujudkan keadilan sosial dalam masyarakat dan saling
bekerjasama (ta'awun) antara anggota masyarakat bersama membangunkan negara.
Masyarakat didirikan atas dasar
berkenaan seperti firman Allah SWT mafhumnya: "Dan tolong-menolonglah kamu
dalam (mengerjakan) kebaikan dan takwa dan janganlah kamu tolong-menolong dalam
melakukan dosa dan perseteruan." (Surah al-Maidah, ayat 2).
Ringkasnya Islam tidak menghalang
umatnya mengejar pembangunan yang semestinya dicapai, diurus, ditadbir dan
dimanfaatkan berlandaskan batas hukum yang dibenarkan.
Firman-Nya yang bermaksud: "Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta di antara
kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu
kepada hakim supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang
lain itu dengan (jalan berbuat) dosa padahal kamu mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 188).
No comments:
Post a Comment