Anugerah pendengaran amat besar ertinya bagi
setiap manusia. Tanpa pendengaran, banyak perkara tidak dapat dilakukan
dengan sempurna. Bahkan, disebabkan masalah pendengaran timbul pula satu lagi
masalah pancaindera iaitu bisu. Majoriti mereka berdepan masalah
pendengaran jika akan menjadi bisu.
Sebab itu, mereka yang sempurna
pendengarannya haruslah bersyukur. Gunakan anugerah Allah SWT itu dengan
sebaik-baiknya. Jadikan pendengaran dioptimumkan dengan sumber yang boleh
mendekatkan kita kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT bermaksud: "Dan
bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)."
(Surah al-Baqarah, ayat 152).
Sepertimana pancaindera lain, pendengaran
juga sering digunakan untuk perkara buruk. Ini dilakukan oleh mereka yang
tidak bersyukur. Mereka menganggap anugerah itu sekadar satu perkara biasa
yang ada pada mereka yang dilahirkan sempurna sifatnya.
Seharusnya kita pergunakan ia untuk
dimanfaatkan pada agama seperti mempelajari tafsir al Quran dan ilmu-ilmu yang
bermanfaat bagi kehidupan kita di dunia ini. Bukannya, kita gunakan ia untuk
mendengar umpatan, aib dan caci maki, dan fitnah orang lain.
Jelas sekali masih banyak manusia tidak
menggunakan telinga untuk mendengar apa yang sepatutnya tetapi lebih berminat
memasukkan bahan yang kebanyakannya adalah hiburan bersifat sementara.
Begitu juga dengan nikmat iman dan Islam yang
Allah SWT berikan. Sepatutnya, kita perlu menghargainya dan benar-benar
mensyukuri nikmat ini kerana tidak semua orang berpeluang mendapatkannya.
Bayangkan, betapa ramai orang di luar sana
lahir dalam keluarga yang bukan Islam dan tidak pernah mengenali nikmatnya
hidup sebagai seorang muslim sejak lahir.
Justeru, kita harus menghargainya dengan
berusaha menyampaikan Islam pada orang lain dengan cara berdakwah, menonjolkan
akhlak yang baik dan sebagainya supaya mereka-mereka yang bukan Islam mula
menyedari hakikat sebagai manusia di atas muka bumi ini dan pada akhirnya
memeluk Islam dan mengesakan Allah SWT.
Sewajarnya, sikap ini perlu diperbetulkan
kerana apa yang masuk ke dalam telinga, sekalipun ia keluar mengikut telinga
kiri tetap akan dipersoalkan penggunaan pada hari akhirat nanti.
Nikmat pendengaran ini terlalu besar bagi
mereka yang menghargainya atau kehilangannya. Maka, nikmat Tuhan kamu yang
manakah lagi yang hendak kamu dustakan?
Firman Allah SWT dalam surah al-Isra ayat 36
bermaksud: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai
pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati,
semuanya akan diminta tanggungjawab atasnya.”
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya, roh
ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta
hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu
bersyukur." (Surah as-Sajadah, ayat 9)
No comments:
Post a Comment