Wednesday, 18 January 2023

SEKOLAH AGAMA SETANDING ALIRAN UTAMA

 
Sekolah agama yang menawarkan pendidikan agama dan Bahasa Arab mendapat sambutan di Kelantan selepas Perang Dunia Kedua. Ketika itu semangat ingin mendapat pendidikan formal semakin membara. 
 
Namun, apabila memasuki era 1970-an, aliran sekolah agama semakin tepinggir. Minat orang ramai untuk menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah-sekolah agama mulai berkurangan.
 
Langkah-langkah awal bagi mengatasi masalah tersebut ialah dengan memperkemaskan sistem persekolahan melalui beberapa cara. Pada bulan Oktober 1967, Lembaga Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Agama Kelantan di bawah peraturan Majlis Agama Islam Kelantan telah ditubuhkan.
 
Penubuhan lembaga ini dimaksudkan bagi menyamaratakan nilai sijil sekolah-sekolah agama Negeri Kelantan yang sebelum ini tidak diberi nilai dan pengiktirafan yang sama. 

Meskipun sekolah-sekolah ini memakai sistem dan kurikulum yang sama, iaitu sistem dan kurikulum MAIK, namun dalam amalannya nilai sijil yang dikeluarkan oleh masing-masing sekolah ini tidak mendapat pengiktirafan yang sama.
 
Misalnya, terdapat sekolah yang sijilnya diterima untuk memasuki Universiti Al-Azhar seperti Maahad Muhammadi dan terdapat yang tidak. Bagi menyamaratakan nilai sijil ini supaya menjadi seragam.
 
Pada tahun 1973, satu cadangan telah dikemukakan kepada pihak kerajaan negeri agar ditubuhkan satu Jabatan Khas untuk mengendalikan sekolah-sekolah agama yang diberi nama Jabatan Khas.
 
Kemudian, Jabatan ini diberi nama Jabatan Sekolah-Sekolah Agama (JASA) Kelantan pada 1 Julai 1974 dan diletakkan di bawah Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan.
 
Yayasan Islam Kelantan (YIK) diamanahkan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti pendidikan Islam dan pengajian bahasa Arab di negeri Kelantan.
 
Hasil wujudnya YIK telah membawa kepada pengambilalihan sekolah-sekolah agama yang selama ini ditadbir dan dibiayai sendiri oleh pentadbir sekolah berkenaan. Tujuan ambil alih itu bagi membantu perkembangan dan pentabiran lebih lancar, terutama dari segi kewangan. 
 
Penubuhan YIK ternyata berjaya memugarkan sistem pendidikan yang turut menawarkan mata pelajaran berkaitan ilmu Islam, selain mata pelajaran akademik lain. 

Justeru peluang melanjutkan pelajaran dalam pelbagai displin ilmu terbuka luas kepada pelajar lepasan sekolah YIK dan peluang pasaran kerja juga tinggi.
 
Sekolah di bawah kelolaan YIK mendapat sambutan pelajar sehingga permintaan memasukinya melebihi apa yang mampu ditampung. Pelajarnya bukan sahaja dari Kelantan, bahkan seluruh Malaysia. 

No comments:

Post a Comment