Monday 16 July 2018

TINGKATAN 4 BUKAN MASA BERBULAN MADU

Semua pelajar boleh berjaya, tetapi mengapa tidak melakukan usaha ke arah tersebut. Ada pelajar awal-awal lagi mengatakan tidak yakin dapat mencapai keputusan cemerlang. Mereka memberi alasan dangkal untuk menyokong sikap negatif itu. 

Hakikat sebenarnya, semua pelajar berpeluang untuk berjaya dan tidak salah mengatakan ‘aku mesti berjaya mendapat 10A dalam SPM nanti”. Tidak ada batasan atau halangan yang diletakkan oleh pihak lain untuk menghalang kejayaan itu, melainkan sikap pelajar sendiri. Malah pihak lain seperti ibu bapa, keluarga, guru, pemimpin dan ahli masyarakat mengharapkan kejayaan pelajar serta sanggup menghulurkan bantuan untuk merelisasikan impian itu. 

Kejayaan dalam semua perkara berkait rapat dengan disiplin diri. Pelajar yang ingin berjaya mesti berdisiplin melakukan usaha dan tindakan yang berkaitan untuk mencapai apa yang diarapkan. Itulah yang menjadi cabaran utama yang membezakan antara pelajar cemerlang dengan yang gagal. 

Kemampuan pelajar dalam faktor lain boleh dikatakan sama. Otak yang cerdas, guru yang dedikasi, kemudahan pembelajaran mencukupi dan peluang sama rata. Hanya pelajar berdisiplin mampu memanfaatkan sepenuhnya kelebihan yang dimiliki itu dan mencapai kejayaan cemerlang.

Pelajar perlu membina kekuatan disiplin sejak awal tahun. Buat persiapan awal seperti peperiksaan sudah hampir. Jangan amalkan sikap bertangguh membuat persiapan pada saat-saat akhir yang menyebabkan kebanyakan pelajar kecundang. 

Perbuatan bertangguh diumpamakan seperti memperjudikan nasib. Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku pada tempoh waktu hampir dengan peperiksaan nanti. Mungkin banyak perkara atau kejadian tidak diduga berlaku sehingga mengganggu persiapan akhir. Ketika itu sesal tidak berguna lagi.

Kejayaan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) amat penting menentukan perjalanan hidup yang masih jauh. Kegagalan dalam SPM, bermakna tertutup peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Peperiksaan SPM adalah kemuncak alam persekolahan.  

Memang pelajar yang gagal mendapat keputusan SPM cemerlang masih berpeluang menduduki sekali lagi peperiksaan itu, tetapi mengapa kita memilih jalan itu sedangkan peluang mendapat keputusan cemerlang pada percubaan pertama masih ada.

Sebenarnya persiapan menduduki SPM bukan perlu dilakukan pelajar Tingkatan Lima saja. Pelajar di Tingkatan Empat juga kena mendisiplinkan diri seperti akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini. Jangan jadikan ketika di Tingkatan Empat sebagai tahun bulan madu atau rehat habis. Ini kerana sukatan pelajaran di Tingkatan Empat juga termasuk dalam peperiksaan SPM dan peratusannya adalah sama banyak dengan Tingkatan Lima.  

Masa sentiasa beredar. Jika tidak dilakukan perkara berfaedah, kehidupan ini jadi sia-sia. Masa di Tingkatan Empat telah ditetapkan sukatan pelajaran yang perlu dipelajari. Ia tidak akan diulang lagi ketika Tingkatan Lima.

Seluruh masa di Tingkatan Lima adalah untuk sukatan mata pelajaran pada tahun berkenaan. Guru tidak tidak akan mengulang semula sukatan Tingkatan Empat ketika masa kelas biasa. Lainlah jika pada waktu kelas tambahan atau tuisyen. 

Jika pelajar tidak memberi perhatian ketika di Tingkatan Empat, maka separuh daripada sukatan mata pelajaran untuk peperiksaan SPM tidak dapat dikuasai. Usaha mempelajari secara serentak sukatan pelajaran Tingkatan Empat dan Lima dalam tahun yang sama bukan satu tugas yang mudah.

Pelajar dinasihatkan belajar secara bijak. Buat perancangan teliti dan bersistematik. Cara ini dapat membantu memahami dan mengingati pelajaran dengan lebih mudah dan berkesan. Ada pelajar tekun belajar sejak awal lagi, tetapi tidak menepati cara belajar secara bijak. 

Satu amalan penting ialah membuat nota secara sistematik. Setiap kali guru mengajar, catatkan nota sementara. Apabila ada ruang masa, dapatkan buku rujukan tambahan untuk menyediakan nota lebih lengkap.

Nota tersebut hendaklah dibuat di atas kertas yang sesuai untuk digunakan sehingga masa peperiksaan. Elok jika ia kertas tebal yang dikerat dalam ukuran kecil atau kad yang mudah dibawa ke mana-mana. Setiap kad untuk satu tajuk atau sub tajuk. Jangan terlalu berkira hendak berjimat hingga menulis beberapa tajuk dalam satu kad.

Persediaan nota secara berkala dapat membatu mengagih-agihkan masa penyediaan nota. Selalunya menjelang peperiksaan, baru pelajar kelam-kabut buat nota. Keadaan begitu menimbulkan kecemasan yang selalunya membawa akibat yang buruk. Apabila jiwa tak tenteram fikiran dan ingatan kita terganggu. 

Ketika hampir masa peperiksan bukan lagi masa membuat nota. Bukan lagi masa sesuai untuk membalik-balik buku teks yang tebal-tebal itu. Ketika itu semua nota sepatutnya telah lengkap. Masa saat akhir sepatutnya untuk mengukuhkan kefahaman dan ingatan terhadap sesuatu tajuk. 

Persediaan nota awal dapat memudahkan mula mengingati fakta-fakta yang dipelajari dari awal lagi. Apa yang telah tersedia di dalam nota diulang baca atau membuat latihan. Ini dapat membantu proses mengingati. 

Ketika hampir peperiksaan, tidak perlu lagi buat nota baru, jika segala nota sebelum ini telah dibuat secara langkap. Semuanya telah tersedia dari awal. Perasaan lebih aman dan penuh keyakinan. Nota dan ingatan yang kemas sedia untuk dicuruhkan ke atas kertas jawapan. Kita tak cemas dan bersedia menghadapi peperiksaan dengan yakin.

Jadilah pelajar berdisiplin dan jangan bertangguh membuat persediaan menghadapi peperiksaan. Anggaplah belajar satu perkara paling menyeronokkan. Ketekunan menghadap pelajaran adalah satu nikmat bagi pelajar yang mempunyai aspirasi tinggi untuk mencapai tahap tertinggi dalam peperiksaan. 

Apabila ketekunan dan disiplin telah sebati dalam diri, sikap negatif akan semakin lemah dan akhirnya hilang dari diri. Sebaliknya nilai-nilai baik semakin kuat bukan setakat berkaitan dengan tugas sebagai pelajar, bahkan dalam hal-hal lain.  

Pelajar mesti mempunyai sikap bersaing di kalangan rakan-rakan. Wujud sikap dengki dengan kejayaan kawan dan kita juga ingin mencapainya. Sikap bersaing atau dengki secara ini dibenarkan dalam Islam dan sepatut dijadikan amalan. Kita ingin mendapat kejayaan sama seperti orang lain tanpa kita merosakkan kejayaan orang lain. Kejayaan itu kita raikan bersama-sama ada mendapat manfaatnya.

Fikirkan, anda juga mampu berjaya seperti rakan-rakan lain. Lakukan usaha positif seperti mana pelajar contoh itu lakukan. Jangan sekali kali menjauhkan diri daripada ufuk kecemerlangan. Anda semua boleh melakukan sama seperti pelajar lain yang telah berjaya kerana anda juga sama seperti dengan mereka.

No comments:

Post a Comment