Tuesday, 11 August 2020

SIKAP UJUB TANPA KITA SEDARI

Perkataan ujub adalah dari perkataan Arab yang bermaksud kagum terhadap diri sendiri, angkuh, bongkak, berasa diri hebat, bangga diri dan ego. Mereka yang dikuasai perasaan ujub terpesona dengan kehebatan diri sendiri.

Manakala riak atau riyak pula adalah sifat atau sikap suka menunjuk-nunjuk­kan amal ibadah atau sesuatu kebaikan dengan tujuan mendapat pujian atau sanjungan daripada orang lain, bukan kerana Allah.

Dengan kata lain maksud ujud dan riak adalah berbeza biarpun sering dianggap sama atau digunakan dalam situasi yang sama.

Kita mungkin boleh mengawal sikap riak, tetapi sukar untuk menghilangkan sikap ujub.

Contohnya, kita solat tahajjud diam-diam. Tidak ada siapa tahu. Kita pun tidak menceritakan kepada orang lain agar tidak wujud sifat riak. Hanya kerana Allah dan bukan kerana sebab lain. 

Tetapi sifat ujub mungkin timbul apabila dalam hati berkata-kata, ‘hebat aku setiap malam tidak pernah tertinggal solat tahajud ketika orang lain sedang enak tidur malam. Itulah tanda ada sifat ujub biarpun tidak riak.

Penyakit ujud antara penyakit hati yang paling tersembunyi. Perasaan ujub boleh datang pada bila-bila masa. Contohnya:
- Orang yang rajin ibadah merasa kagum dengan ibadahnya.
- Orang yang berilmu, kagum dengan ilmunya.
- Orang yang cantik, kagum dengan kecantikannya.
- Orang yang dermawan, kagum dengan kebaikannya.
- Orang yang berdakwah, kagum dengan dakwahnya.

Sufyan at-Tsauri mengatakan: "Ujub adalah perasaaan kagum pada dirimu sendiri sehingga kamu merasa bahawa kamu lebih mulia dan lebih tinggi darjat"

Muthrif telah berkata: “Kalau aku tidur tanpa tahajud dan bangun dalam keadaan menyesal, adalah lebih baik dari aku bertahajud tetapi berasa kagum dengan amalan tahajud tadi.”

Seorang sahabat Nabi Abu Ubaidah al-Jarrah yang menjadi Imam. Setelah selesai beliau berkata: “Syaitan sentiasa menghasut aku supaya merasa aku ini lebih hebat dari orang di belakangku. Aku tidak mahu jadi Imam sampai bila-bila.”

Ingatlah, semua kelebihan adalah anugerah dari Allah, oleh itu kagumlah hanya kepada Allah, bukan diri sendiri.

Rasululah SAW bersabda bermaksud: "Apabila seorang lelaki sedang berjalan dengan memakai baju yang kemas dan rambut yang disikat  menyebabkan dia rasa kagum dengan pakaian dan dandanan rambutnya (perasan lawa). Lalu Allah tenggelamkan dia ke dalam muka bumi dan dia terus ditenggelamkan sampai hari kiamat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain yang bermaksud: "Ada tiga hal yang dapat membinasakan diri seseorang iaitu kedekut yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan ujub (rasa kagum dengan diri sendiri).” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Imam Nawawi rahimahullah berkata: "Ketahuilah bahawa keikhlasan niat terkadang dihalangi oleh penyakit ujub. Sesiapa ujub dengan amalnya sendiri maka akan terhapus amalnya." (Syarh Arba’in)

Hanya tanpa sifat Ujub, barulah ikhlas 100%. Sifat ujub boleh dikurangkan dengan:
- Banyak istighfar memohon ampun kepada Allah, setiap kali terdetik kehebatan diri.
- Mengganggap semuanya dari Allah jua.
- Berdoa mohon bantuan Allah.

Mari kita sama-sama muhasabah diri, dan cuba yang terbaik. Semoga Allah bantu kita mengikis penyakit ujub.

No comments:

Post a Comment